Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kempen Internet Selamat Pupuk Tingkah Laku Digital Bertanggungjawab

23/09/2025 07:01 PM

KULAI, 23 Sept (Bernama) -- Kempen Internet Selamat yang diwujudkan oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kalangan pelajar dilihat mampu memupuk tingkah laku digital yang bertanggungjawab kepada golongan berkenaan.

Ikon Keselamatan Dalam Talian (K-DAT) Kategori Guru Sekolah Menengah Foon Yew Kulai Tay Yap Hong berkata program seperti itu dapat meningkatkan kesedaran melalui advokasi supaya setiap pelajar sentiasa lebih bertanggungjawab mengingatkan antara satu sama lain.

Beliau berkata kempen yang diadakan di sekolah berkenaan menggunakan modul Rancangan Sesi Pengajaran (RSP) Pelajar Sekolah Menengah (13 hingga 17 tahun), dengan memfokuskan kesediaan golongan remaja dalam penggunaan Internet.

Ad Banner

“Saya lebih suka melalui Kempen Internet Selamat di peringkat pelajar menengah ini dengan kaedah rakan sebaya mengingatkan batas-batas dalam penggunaan Internet dan media sosial serta risiko tertentu seperti buli siber, perjudian dan perkara negatif yang lain.

“Rakan sebaya adalah individu yang paling dekat dengan seseorang remaja itu, manakala sekiranya berlaku sesuatu, kami sebagai guru adalah sumber rujukan dan pembimbing,” katanya kepada Bernama selepas sesi ceramah dan Kempen Internet Selamat di Sekolah Menengah Foon Yew Kulai di sini hari ini, yang disertai lebih 200 pelajar.

Turut hadir Pengarah (Pembangunan) Pejabat MCMC Negeri Johor Khairol Nizam Mohd Mostar, Pegawai Khas (Perhubungan) Timbalan Menteri Komunikasi Wahidatul ‘Abdah Aminul Rashid dan Naib Pengetua Sekolah Menengah Foon Yew Kulai Chua Soon Cheng.

Sementara itu, Ikon K-DAT Kategori Pelajar Pang Jing En, 16, berkata dia bersedia berkongsi ilmu berkaitan memahami budaya media sosial kepada rakan-rakan di sekolahnya, terutama berkaitan salah laku yang berlaku di dunia maya dalam kalangan rakan sebaya.

Beliau berkata penyalahgunaan media sosial kini agak membimbangkan, terutama melibatkan buli siber dengan memuat naik komen berunsur negatif yang boleh membawa kesan tidak baik serta tekanan kepada pemilik akaun media sosial yang terlibat.

“Sebagai Ikon Kempen Internet Selamat di sekolah, peranan saya adalah untuk membantu rakan terbabit dengan memberikan semangat kepada mereka, selain meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian serta beretika ketika menggunakan Internet dan media sosial masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Wahidatul berkata pihaknya juga akan membantu pelajar yang menjadi mangsa kepada kejadian negatif dalam talian seperti kes penipuan dan ugutan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan