Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SAHUT Cipta Sejarah Di URC Osaka

24/09/2025 10:18 AM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Seramai 10 bakat muda Malaysia mencipta sejarah di pentas antarabangsa apabila mengharumkan nama negara pada Cabaran Robotik Sejagat (URC) 2025 di Osaka, Jepun, menerusi bakat, ketekunan dan daya inovasi mereka.

Dalam kenyataan, Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka memaklumkan pencapaian membanggakan dicatatkan tahun ini apabila pasukan dari Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) meraih tempat kedua dalam Python Division. Ia merupakan kali pertama Malaysia membawa pulang pingat daripada pertandingan berprestij itu.

“Pasukan lain turut menunjukkan prestasi membanggakan apabila salah satu daripadanya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik bagi Advanced Division, manakala beberapa lagi berjaya mara ke kelompok 20 terbaik dalam kategori Advanced dan Regular.

Ad Banner

“Keputusan ini menggambarkan kemajuan berterusan Malaysia dalam bidang robotik serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain menyerlahkan ketabahan dan kreativiti golongan muda negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, para pelajar terbabit diraikan di Pavilion Malaysia sebelum pertandingan pada  Sabtu lepas,satu detik simbolik yang menegaskan peranan pavilion dalam meraikan bakat nasional serta menyemarakkan inspirasi kepada generasi pemimpin masa depan.

Selain SAHUT, peserta berusia antara 10 hingga 15 tahun itu turut mewakili sekolah dari seluruh negara termasuk Sekolah Islam Soleh Cyberjaya.

Ramai dalam kalangan mereka dibimbing melalui Tech Up Lab di Hulu Terengganu yang diasaskan pendidik Ridhuan Azman dengan sokongan Tech Up Sdn Bhd serta Yayasan MySDG, yang sejak 2017 giat melahirkan pelajar luar bandar untuk peluang dalam bidang STEM.

“Bagi sebahagian daripada bakat muda ini, URC 2025 bukan sahaja penyertaan pertama di pentas antarabangsa, malah pengalaman pertama mereka ke luar negara — satu detik bermakna yang direalisasikan menerusi sokongan padu sekolah, keluarga dan komuniti,” menurut kenyataan itu.

Pertandingan edisi kesembilan anjuran Artec Co Ltd Jepun dengan kerjasama Tech Up Sdn Bhd sebagai rakan tempatan itu menghimpunkan ratusan inovator muda dari 14 negara. Mereka berentap dalam kategori Real Robotics Regular, Real Robotics Advanced dan Python yang menguji keupayaan mencipta serta memprogram penyelesaian secara langsung.

Malaysia menyertai ketiga-tiga kategori itu sejajar dengan fokus URC terhadap Industri, Inovasi dan Infrastruktur di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 9 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seiring penganjuran Ekspo 2025 Osaka, Pavilion Malaysia menegaskan pencapaian pelajar negara itu mengangkat misinya untuk memaparkan Malaysia bukan sahaja sebagai negara kaya warisan, malah sebagai sebuah negara yang membentuk masa depan berasaskan inovasi dan kecemerlangan.

“Lawatan ini turut mencerminkan tema Pavilion Malaysia, Weaving a Future in Harmony, sekali gus memperlihatkan keupayaan negara melahirkan bakat bertaraf dunia walaupun bermula daripada akar umbi yang sederhana,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan