Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia, Timor-Leste Terus Perkukuh Hubungan, Pertingkat Usaha Sertai ASEAN

24/09/2025 02:50 PM

Daripada V.Sankara

DILI (Timur-Leste), 24 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Timor-Leste telah mencapai kata sepakat untuk terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan keselamatan seiring dengan persiapan Dili untuk menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11.

Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao berkata lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakar detik penting dalam hubungan dua hala Timor-Leste dan Malaysia sejak hubungan diplomatik terjalin pada 2002.

Ad Banner

“Perbincangan kami berlangsung dalam suasana yang mesra dan produktif… kami bersetuju untuk mempertingkat hubungan dua hala dalam sektor penting seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, kesihatan dan pelancongan... pendidikan dan latihan terutama biasiswa baharu dan kerjasama institusi turut menjadi keutamaan,” katanya pada sidang media bersama di sini.

Beliau berkata inisiatif perkhidmatan udara baharu dan pengecualian visa bagi memudahkan perjalanan rakyat kedua-dua negara mampu memupuk pemahaman budaya serta hubungan sesama rakyat. 

Gusmao turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas “sokongan padu dan berterusan” Malaysia terhadap pembangunan Timor-Leste serta aspirasi negara itu untuk menyertai ASEAN.

“Kami berkongsi pandangan serupa mengenai isu serantau dan global termasuk keamanan, demokrasi dan Palestin... kami berdiri teguh dalam menggesa agar keganasan dihentikan serta undang-undang antarabangsa dihormati,” katanya.

Anwar, dalam ucapannya mengulangi komitmen Malaysia terhadap usaha Timor-Leste menyertai ASEAN dan kerjasama yang lebih meluas.

“Kami membincangkan mekanisme untuk mempertingkat hubungan dua hala mernagkumi pelaburan dalam perdagangan, pelancongan, pendidikan, kesihatan dan tenaga. 

“Dalam konteks ASEAN, Timor-Leste telah melakukan segala yang termampu untuk mempercepat proses tersebut, dan Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah majlis rasmi berhubung penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan tahap kepercayaan maksimum yang terjalin antara kedua-dua negara termasuk dalam aspek kesalinghubungan, pertahanan, perolehan, latihan dan perkongsian maklumat.

“Sebagai negara maritim, kita berdepan cabaran serupa seperti penangkapan ikan secara haram, pencerobohan serta keselamatan, dan kerjasama amat penting bagi kita,” katanya.

Mengenai isu Myanmar, Anwar berkata terdapat perkembangan yang positif dalam aspek libat urus. 

“Dengan sokongan ASEAN, pengeboman telah berhenti dan keamanan sudah mula dinikmati sejak kejadian gempa bumi, dan Malaysia juga telah menubuhkan sebuah hospital medan,” katanya.

Beliau juga berkata mediasi ASEAN telah membuahkan hasil dalam konflik membabitkan Thailand dan Kemboja. 

“Kita berjaya menghalang sebarang peningkatan keganasan dan perkara ini hanya dapat dicapai dengan sokongan negara-negara ASEAN,” katanya.

Mengulas mengenai isu di Timur Tengah, Anwar mengulangi pendirian tegas Malaysia yang menentang kekejaman di Gaza di mana pengeboman berterusan mengorbankan bayi, kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah,” katanya.

Kedua-dua pemimpin juga berjanji untuk terus menjalin kerjasama erat di peringkat dua hala dan pelbagai hala bagi mempertingkat kerjasama serta memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan