KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Ketumbuhan ginekologi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja jarang berlaku namun rumit, yang memerlukan pemahaman lebih mendalam serta rawatan segera, terutama dalam bidang kesihatan dengan kes seumpama itu sering diabaikan atau salah didiagnosis.
Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway dalam kenyataan memaklumkan Persatuan Hematologi dan Onkologi Pediatrik Malaysia menganggarkan kadar insiden sekitar 77.4 bagi setiap sejuta kanak-kanak di bawah umur 15 tahun, dengan jenis kanser yang amat berbeza daripada orang dewasa serta memberi tindak balas yang berlainan terhadap rawatan.
Menurut Pakar Bedah Kanak-Kanak SMC Dr Shona Alison Edmonds, kesedaran awal dan pendekatan pelbagai disiplin adalah kunci untuk meningkatkan hasil rawatan serta memelihara kualiti hidup pada masa depan kanak-kanak yang terkesan.
Di SMC, Dr Shona serta pakar-pakar bedah dan ginekologi di SMC menganggarkan mereka mendapati kira-kira lima kes ketumbuhan ginekologi pediatrik setiap tahun dengan kebanyakan pesakit terdiri daripada bayi hingga remaja, manakala ketumbuhan ovari adalah paling kerap berlaku.
“Sembelit kronik pada seorang kanak-kanak yang sebelum ini normal wajar menimbulkan kebimbangan, terutama jika tidak bertindak balas terhadap ubat pelawas atau perubahan diet. Kerap membuang air kecil tanpa jangkitan saluran kencing juga merupakan tanda amaran, yang mungkin menunjukkan tekanan daripada ketumbuhan di kawasan pelvis.
“Ibu bapa atau anak mungkin perasan rasa penuh, keras atau bengkak… kadangkala, anak itu sendiri rasa ada ketulan atau ketidakselesaan yang sukar diterangkan,” katanya sambil menambah perut kembung juga adalah satu lagi gejala penting tetapi sering diabaikan.
Beliau berkata penemuan simptom seumpama itu wajar disusuli dengan pemeriksaan lanjut, biasanya bermula dengan imbasan ultrabunyi.
Dr Shona berkata satu daripada sebab utama kelewatan diagnosis ialah kurangnya kesedaran selain daripada pihak pesakit yang takut menerima berita buruk atau mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu, serta daripada pihak doktor iaitu ada yang kurang jelas tentang saluran rujukan yang betul.
“Ada beranggapan kanak-kanak tidak boleh mendapat ketumbuhan ginekologi, terutama kanak-kanak perempuan yang belum akil baligh. Apabila remaja menunjukkan simptom pula, ia sering disalah tafsir sebagai jangkitan atau dikaitkan dengan aktiviti seksual, menyebabkan rawatan sebenar tertangguh,” katanya.
Dr Shona berkata walaupun memelihara kesuburan anak-anak adalah penting, keutamaan tetap harus diberikan kepada rawatan tumor demi menyelamatkan nyawa mereka dan bagi remaja perempuan yang lebih berusia, rawatan boleh ditangguhkan untuk tujuan pemeliharaan telur manakala bagi kanak-kanak yang lebih muda, mungkin mempunyai pilihan untuk memelihara tisu ovari.
Dr Shona berkata apabila seorang kanak-kanak didiagnosis dengan tumor ginekologi, penjagaan bersinergi amat penting selain pendekatan pasukan multidisiplin mengendalikan semua aspek kesejahteraan kanak-kanak.
“Onkologi pediatrik biasanya berperanan sebagai rujukan utama rawatan. Pasukan lain kemudian akan turut terlibat seperti pakar bedah pediatrik, radiologi, patologi, psikologi atau psikiatri, pekerja sosial, terapi bermain dan pakar ginekologi dan kesuburan remaja,” katanya sambil menambah sokongan psikologi semasa dan selepas rawatan amat penting, dengan pakar profesional membantu kanak-kanak menghadapi trauma.
Beliau berkata perkembangan kanak-kanak perlu dijaga dengan teliti melangkaui rawatan tumor selain menasihati ibu bapa supaya tidak menangguh rawatan serta berjumpa dengan pengamal perubatan bertauliah jika memerlukan pendapat kedua.
Dr Shona berkongsi pandangan beliau dalam Simposium Pediatrik Antarabangsa kedua 2025 anjuran SMC, bertemakan “Pediatrik Merentasi Sempadan: Menghubungkan Subkepakaran, Menyelamatkan Nyawa,” yang menghimpunkan pakar pediatrik dari pelbagai negara untuk menangani cabaran kesihatan kanak-kanak yang mendesak serta menegaskan komitmen SMC terhadap penjagaan bersepadu kanak-kanak.
SMC diiktiraf sebagai hospital terbaik dalam bidang pediatrik di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut dalam Newsweek 2025 (Newsweek Best Specialized Hospitals Asia Pacific (APAC) 2025) sejak 2023.
Hospital berkenaan menempatkan Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak dan Wanita, dan hospital swasta pertama di negara ini yang menyediakan Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak 24 jam dengan disokong 26 subkepakaran pediatrik serta lebih 50 pakar perubatan dan menerima akreditasi daripada Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) International, Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) serta Joint Commission International (JCI) daripada Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial