KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga pengarah filem animasi Ejen Ali, Andi Abdul Ghani Kadir yang meninggal dunia pagi semalam.
Menerusi catatan di Facebook, Fahmi menyifatkan pemergian Allahyarham Andi Abdul, 42, sebagai kehilangan besar buat industri kreatif tanah air.
“Takziah kepada keluarga Allahyarham Andi Abdul Ghani Kadir, pengarah filem animasi Ejen Ali, yang telah kembali ke Rahmatullah. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat industri kreatif tanah air.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Saya doakan semoga keluarga beliau tabah dan sabar dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintenden D. Ravi berkata kereta jenis Perodua Ativa yang dinaiki mangsa bersama isterinya sedang dalam perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, kenderaan itu yang dipandu isteri Allahyarham dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan pengarah filem tersebut keluar daripada kereta dan terjun ke dalam Sungai Kampung Batu Puteh.
Mayat Andi Abdul ditemukan pada 11.15 pagi semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial