PUTRAJAYA, 26 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar kerjasama antara agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diperkukuh demi memastikan masalah yang dihadapi petani serta nelayan diselesaikan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata masalah yang membelenggu golongan itu tidak dapat ditangani oleh satu agensi sahaja sebaliknya memerlukan pendekatan bersepadu merangkumi pelbagai pihak.
"Penyelesaian masalah petani ini bukan sahaja dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), mesti dengan Jabatan Pertanian, mesti dengan LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) dan mana-mana kaedah serta badan dan agensi yang boleh menyelaras.
"Apa yang dilakukan FAMA dan Kementerian Pertanian itu penting kerana bila harga terjamin, kita boleh tekankan supaya pengeluaran bertambah," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Pasar Tani Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Presint 4 di sini hari ini.
Anwar juga mahu KPKM dan agensi di bawahnya sentiasa berfikir di luar kotak untuk mencari kaedah baharu bagi meningkatkan pengeluaran serta pemasaran produk.
Beliau memberi contoh inisiatif penanaman bawang untuk menampung permintaan dalam negara dan pemerkasaan pemasaran durian yang kini menjana pendapatan eksport berbilion ringgit.
"Sebab itu saya kata, sentiasa memikirkan kaedah baharu… hari ini, kita secara khusus bicara soal pemasaran, kalau betul nak tolong petani, nelayan kecil maka pertamanya, minta hasil ditambah, dan menjamin harga yang munasabah... dan ini peranan FAMA, maknanya ambillah langkah apa pun yang perlu," katanya.
Perdana Menteri turut menyarankan agar rakyat Malaysia memanfaatkan tanah di ruang kediaman masing-masing bagi tujuan pertanian kecil-kecilan sebagai usaha mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan kebergantungan kepada hasil pasaran.
Beliau berkata kerajaan bersedia menyediakan sokongan seperti benih, panduan teknikal dan latihan namun inisiatif itu perlu datang daripada rakyat sendiri.
Menyingkap pengalaman sendiri ketika pandemik COVID-19, Anwar berkata beliau menanam nanas, pisang, betik serta sayur-sayuran di kediamannya di Segambut dan Sungai Long.
Mengulas mengenai sambutan hari ini, Perdana Menteri berkata konsep pasar tani diwujudkan ketika beliau menjadi Menteri Pertanian susulan masalah dihadapi petani ketika itu yang terpaksa berdepan orang tengah sehingga menyebabkan hasil jualan tidak berbaloi.
Beliau berkata produk yang dibawa oleh para petani pada hari itu habis terjual kerana harganya lebih murah berikutan kos pengangkutan ditanggung oleh FAMA, lokasi disediakan Kementerian Pertanian dan pembeli pula adalah kakitangan di Wisma Tani.
Anwar berkata selepas itu, pasar tani mula dikembangkan ke tempat lain dan sehingga kini, ia telah diwujudkan di 229 lokasi di seluruh negara dengan penyertaan 5,618 usahawan.
"Alhamdulillah kerana permulaan itu, saya nak buktikan ia boleh dilakukan, bukan sekadar teori sahaja... bila kita sendiri usahakan, bawa ke Wisma Tani kemudian jual dan selesai... dengan petaninya, dengan pegawai FAMA yang bawa lori, semua gembira luar biasa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial