Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kementerian Pengangkutan Mahu Naik Taraf Lapangan Terbang Tawau Siap Tepat Masa

26/09/2025 02:58 PM

TAWAU, 26 Sept (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan mahu projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau di sini yang bernilai RM120.9 juta disiapkan dalam tempoh 36 bulan seperti ditetapkan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek itu, yang dijangka siap pada 2028, akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat khususnya dalam sektor pelancongan dan perdagangan melalui fasiliti moden dan selesa.

"Penting (untuk) kontraktor siapkan (projek) tepat masa... saya akan pantau projek ini dan setiap minggu saya akan minta laporan kemajuan semasa mesyuarat pasca Kabinet,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata pihaknya akan turut memastikan projek itu berjalan lancar tanpa mengganggu operasi lapangan terbang, dan kontraktor perlu merancang pembinaan mengikut fasa, jadual serta kesesuaian atau integrasi dengan operasi lapangan terbang.

Loke berkata projek itu, yang dikendali oleh syarikat pembinaan tempatan Sabah, membabitkan peningkatan kapasiti terminal penumpang daripada 1.5 juta kepada 2.5 juta orang setahun.

Beliau berkata projek itu turut melibatkan penambahan jambatan udara, penambahbaikan apron pesawat, menaik taraf sistem penyaman udara dan kaunter pendaftaran daftar masuk serta kemudahan awam seperti tandas.

"Elemen penting naik taraf ini juga adalah penyediaan kawasan daftar masuk imigresen dan e-Imigresen antara penerbangan domestik dan antarabangsa yang selesa serta selamat, yang mematuhi piawaian antarabangsa.

"Pada masa ini, pemeriksaan imigresen bagi penerbangan domestik dan antarabangsa dilakukan di tempat yang sama menyebabkan berlaku kekeliruan, dan dikhuatiri terdapat penumpang yang terlepas daripada pemeriksaan," katanya.

Loke juga berkata penaiktarafan lapangan terbang itu bakal memperkukuh peranan Tawau sebagai pintu masuk strategik ke Kalimantan Timur, Indonesia selaras dengan agenda Malaysia MADANI iaitu menyediakan infrastruktur inklusif dan mapan.

Pada tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 memaklumkan kerajaan bersetuju melaksanakan projek pembesaran Lapangan Terbang Tawau di Sabahg dan Lapangan Terbang Miri di Sarawak dengan kos RM235 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan