MELAKA, 27 Sept (Bernama) -- Pada usianya 75 tahun, ‘tulang besi urat dawai’ Yong Ah Kow masih gagah berdiri di bengkel kecilnya di Jalan Hang Kasturi, mengetuk dan menempa pelbagai peralatan dapur berasaskan besi termasuk keluli tahan karat, aluminium dan tembaga.
Perusahaan keluarga yang diwarisi sejak lebih 100 tahun lalu itu kini menjadi saksi ketekunan Yong, yang saban hari masih memateri dan membentuk logam dengan kudrat sendiri. Ketika Bernama meninjau bengkelnya, beliau sedang menyiapkan tempahan periuk kukus khas untuk membuat putu piring.
Anak jati Melaka yang kini menetap di Batu Berendam itu mengambil alih perniagaan berkenaan sejak usia 20-an. Hingga kini, hasil ketukannya terus menjadi sumber rezeki bagi menyara kehidupan bersama isterinya.
“Sudah lebih 50 tahun saya hasilkan pelbagai perkakasan dapur dan peralatan niaga seperti periuk, senduk dan bekas ais — semuanya atas tempahan pelanggan.
“Dulu, kerja boleh buat banyak dan laju, tapi sekarang saya hanya ambil tempahan tertentu saja sebab sudah berusia. Cara saya juga masih manual, tidak guna mesin,” katanya yang mempunyai tiga anak, masing-masing sudah berkeluarga.
Menurut Yong, kebanyakan tempahan datang daripada peniaga tempatan dan tempoh menyiapkan pesanan bergantung kepada jenis serta saiz barangan.
“Memang ambil masa sebab kerja pateri pun saya guna cara lama — bakar atas dapur arang, langsung tak guna elektrik,” ujarnya.
Walaupun berdepan cabaran harga besi yang semakin meningkat dan kudrat yang semakin berkurangan, Yong tetap berpegang pada prinsip menghasilkan barangan berkualiti sebagaimana dikehendaki pelanggan.
Bertukang secara tradisional turut membawa risiko, terutama kecederaan akibat peralatan tajam, namun bagi Yong semua itu sudah menjadi lumrah.
“Yang penting kena berhati-hati dan fokus. Kalau cuai, memang mudah berlaku kemalangan,” katanya.
Beliau menegaskan, minat dan kesungguhan adalah kunci untuk terus bertahan dalam bidang ini.
“Saya akan teruskan selagi ada tempahan dan selagi terdaya. Malangnya, tiada pewaris untuk kerja ini kerana anak-anak tidak berminat.
“Mungkin mereka anggap kerja ini kasar dan berbahaya. Tapi saya tiada rancangan untuk berhenti, walaupun terpaksa menyiapkan tempahan seorang diri,” katanya menutup bicara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial