ARAU, 27 Sept (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperkenalkan Program Pensijilan Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bagi melahirkan golongan huffaz profesional serta berkemahiran pada masa depan.
Prapelancaran program berkenaan disempurnakan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli pada majlis taklimat kepada waris bersempena Program Minggu Suai Kenal (MSK) Sarjana Muda Sidang Akademik 2025/2026 di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, di sini, hari ini.
Bercakap kepada pemberita, Zaliman berkata pelaksanaan awal program itu melibatkan lapan pelajar kumpulan pertama daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal.
“Insya-Allah, program ini akan terus diperluaskan pada tahun-tahun akan datang dengan lebih ramai pelajar diambil, sekali gus melahirkan teknokrat, ahli teknologi dan jurutera yang turut mempunyai kemahiran dalam Al-Quran,” katanya.
Beliau berkata modul program pensijilan tahfiz berkenaan dibangunkan sepenuhnya oleh Darul Quran, sekali gus memberi peluang kepada pelajar UniMAP yang berminat atau berkemahiran menghafaz Al-Quran untuk mengikuti pengajian tersebut.
Sementara itu, Zaliman berkata seramai 2,779 pelajar baharu Sarjana Muda mendaftar di UniMAP bagi Sidang Akademik 2025/2026, melibatkan 37 program pengajian yang ditawarkan tujuh fakulti universiti tersebut.
“Kemasukan pelajar baharu di UniMAP meningkat setiap tahun. Tahun lepas kita menerima kira-kira 2,200 pelajar, manakala tahun ini hampir 2,800 pelajar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial