MELAKA, 27 Sept (Bernama) -- Sejarah Malaysia mesti berteraskan fakta, hasil penyelidikan dan perkara yang perlu diketahui rakyat Malaysia, bukannya ditentukan oleh negara Barat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan dengan itu, Anwar menegaskan bahawa usaha membina semula naratif sejarah Malaysia adalah penting, sambil menegaskan bahawa ia tidak seharusnya ditulis oleh bekas penjajah.
“Sejak sekian lama, saya masih ingat sekitar tahun 1961, antara ahli sosiologi terkemuka negara kita Profesor Hussein Al-Attas, telah menulis satu makalah penting dalam Persidangan Sejarawan Asia, beliau mahu berlaku jujur kepada negara kita, warisan kita, sejarah kita tidak boleh diatur oleh bekas penjajah.
“Sejarah kita tidak boleh digambarkan seolah-olah hanya berkisar tentang hamba di negara ini. Kita pernah ada tamadun, kita pernah berpeluang menjadi rakan dagang utama,” kata beliau ketika merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di Klebang di sini, malam ini.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Perdana Menteri berkata sektor pendidikan, iaitu universiti dan sekolah, perlu memainkan peranan mereka dalam membina sejarah Malaysia.
Beliau berkata perkara itu perlu dilakukan menerusi penyelidikan bebas, dengan menjadikan sejarah Melaka sebagai rujukan utama untuk memahami kehebatan budaya negara, termasuk dalam sektor pelancongan.
“Melaka bukanlah sebuah destinasi pelancongan biasa. Ia unik di rantau Alam Melayu dengan sejarah Kesultanan Melayu Islam yang agung, tempat tertubuhnya pemerintahan Islam.
“Kejayaan menarik perdagangan dan pelaburan sejauh Venice, Sepanyol dan Portugal, Melaka menjadi antara pusat kosmopolitan dan perdagangan terkemuka di dunia, seperti yang ditulis oleh ahli sejarah terkemuka,” kata Anwar.
Perdana Menteri juga memberi jaminan kepada Ab Rauf bahawa kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan penuh terhadap usaha beliau membetulkan naratif sejarah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Jadi terima kasih kepada Ketua Menteri kerana meneruskan usaha ini, kami pastikan anda mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Persekutuan.
“Pastikan anda (Melaka) menjadi bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan utama, tetapi juga sebagai budaya yang hidup, berbilang kaum, berbilang agama, yang terdapat Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, seperti yang anda saksikan persembahan dari Sarawak, dari Sabah. Itulah Malaysia,” kata beliau.
Anwar turut memuji kehebatan luar biasa Melaka dalam menganjurkan pelancaran VM2026, sambil menyifatkan persembahan negeri itu sebagai bukti semangat kolektif dan signifikan sejarahnya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata sektor pelancongan negara bukan sahaja tertumpu kepada budaya dan seni, tetapi juga menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta lambang perpaduan nasional.
Beliau berkata makanan dan minuman juga memainkan peranan penting dalam menarik pelancong kerana ia mencerminkan kepelbagaian Malaysia.
“Pelancongan berkait rapat dengan ekonomi, dengan usaha menghidupkan semula budaya dan seni, dengan perpaduan dan dengan aktiviti kulinari yang menampilkan kepelbagaian,” kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial