Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

WTC2025 Tindakan Kolektif Masa Depan Pelancongan

28/09/2025 09:36 PM

MELAKA, 28 Sept (Bernama) -- Persidangan Pelancongan Dunia 2025 (WTC2025) yang bermula di Melaka hari ini bukan sekadar satu persidangan, sebaliknya tindakan kolektif terhadap masa depan pelancongan, kata Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Pemandu Pelancong Iran Mohsen Hajisaeid.

Beliau berkata tindakan itu dibentuk melalui nilai-nilai yang dikongsi di seluruh Asia iaitu keterangkuman, ketahanan, inovasi serta pengiktirafan bahawa pelancongan bukan sahaja berkaitan destinasi tetapi juga mengenai manusia.

“Seperti yang ditekankan dalam perbincangan, kita mesti beralih daripada pendekatan berpusatkan destinasi kepada berpusatkan manusia iaitu komuniti, pengembara dan tuan rumah diletakkan di tengah-tengah strategi kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ad Banner

Mohsen berkata abad ke-21 sering digambarkan sebagai ‘abad Asia’ namun gelaran itu hanya akan membawa makna sekiranya negara-negara Asia memberikan perhatian antara satu sama lain.

Beliau berkata rantau ini bukan sahaja perlu menjadi penyumbang kepada pelancong keluar tetapi juga sebagai sebuah rangkaian penemuan bersama, iaitu kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk mengukuhkan hubungan kemanusiaan, kefahaman budaya serta kerjasama ekonomi.

Memetik pandangan pemenang Hadiah Nobel Amartya Sen mengenai pembangunan sebagai kebebasan, Mohsen berkata pertumbuhan ekonomi mesti seiring dengan maruah manusia, keterangkuman serta kebebasan untuk merasai kepelbagaian budaya.

Pada masa sama, beliau menyuarakan harapan agar platform antarabangsa seperti WTC2025 dapat membantu membetulkan salah tanggapan mengenai aspek keselamatan di Iran.

“Sama seperti Kuala Lumpur, Melaka atau Pulau Pinang di Malaysia yang selamat untuk keluarga, pelajar dan pelawat, begitu juga dengan jalan-jalan di Yazd, Isfahan atau Tehran,” katanya.

Beliau berkata persidangan itu bukan sahaja perlu berfungsi sebagai platform untuk merancang masa depan pelancongan, tetapi pengiktirafan terhadap komitmen bersama untuk membina Asia yang aman, berdaya tahan dan mampan, dan perbezaan budaya serta intelektual dilihat sebagai peluang untuk kefahaman yang lebih mendalam.

“Apabila kita melihat ke hadapan, marilah kita menghayati pelancongan inklusif, pembangunan berpusatkan manusia, transformasi mampan dan ketahanan sebagai prinsip panduan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan