LABUAN, 29 Sept (bernama) -- Transformasi Labuan menjadi pusat kewangan antarabangsa bukanlah satu kebetulan, tetapi hasil daripada tumpuan dan sokongan kerajaan Persekutuan selama berdekad-dekad, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata pembangunan di Labuan kekal menjadi keutamaan selaras dengan peranan strategik pulau ini sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa.
"Yang menjadikan Labuan hari ini ialah hasil daripada perhatian berterusan, dasar, dan pelaburan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-35 Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) di Sekolah Antarabangsa Labuan hari ini.
Amir Hamzah berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13, kerajaan terus menyalurkan peruntukan pembangunan kepada negeri dan Wilayah Persekutuan yang memerlukan perhatian, dengan Labuan mendapat manfaat daripada peruntukan itu untuk menangani jurang infrastruktur.
Beliau berkata antara keutamaan ialah penyelesaian kepada masalah bekalan air berterusan di pulau itu menerusi projek penggantian paip utama dan langkah untuk menstabilkan bekalan elektrik melalui projek pengeluar tenaga bebas (IPP) baharu yang diterajui Petronas dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd dan Sabah Maju Jaya.
Amir Hamzah berkata kerajaan Persekutuan juga mengiktiraf potensi Labuan yang strategik, khususnya dalam industri minyak dan gas, serta sektor pembinaan dan pembaikan kapal yang terus menyumbang kepada ekonomi negara.
"Usaha sedang dibuat untuk menarik lebih ramai pelabur ke Labuan bagi melengkapkan industri sedia ada dan mempelbagaikan pertumbuhan," katanya.
Amir Hamzah berkata kaedah pembangunan kerajaan bertujuan mengimbangi pertumbuhan di seluruh negara, dengan memastikan negeri dan wilayah yang kurang membangun termasuk Labuan, tidak akan ketinggalan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial