Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Raja Muda Perlis Seru Warga Industri Pembinaan Memanfaatkan Latihan, Peluang Disediakan CIDB

29/09/2025 09:40 PM

KANGAR, 29 Sept (Bernama) -- Warga industri pembinaan di Perlis termasuk kontraktor, perunding dan pelajar diseru memanfaatkan sepenuhnya program, latihan serta peluang disediakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bersama-sama Kerajaan Persekutuan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga bertitah supaya pihak terlibat turut serta memperkukuh daya saing dan mengadaptasi teknologi baharu serta mendukung aspirasi pendigitalan negara supaya industri pembinaan di negeri terus maju seiring negeri lain.

“Industri pembinaan di Perlis kini berkembang dengan semakin pesat, berdaya tahan dan berpotensi besar untuk terus menyumbang kepada agenda pembangunan negara.  

Ad Banner

“Angka-angka yang direkodkan setakat ini jelas membuktikan sektor ini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan sosioekonomi negeri,” titah baginda semasa berkenan merasmikan pembukaan pejabat baharu CIDB Perlis di Kangar Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Raja Muda Perlis bertitah yakin pejabat CIDB itu akan membuka lembaran baharu dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pihak industri.

Baginda juga menyeru warga kerja CIDB Perlis menjadikan kemudahan lebih selesa dan moden itu sebagai pemangkin untuk meningkatkan mutu kerja, memperkukuh penguatkuasaan, memperluas latihan serta program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain mendukung transformasi digital industri melalui teknologi baharu seperti pemodelan maklumat bangunan (BIM).

Sementara itu, pada sidang media, Ahmad memaklumkan terdapat lebih 130,000 kontraktor berdaftar di seluruh negara setakat ini, dengan 2,076 daripadanya di Perlis.

“Sebanyak 2,076 kontraktor ini melibatkan jumlah projek melebihi RM1.1 bilion. (Setakat ini) projek yang tertakluk kepada levi bernilai RM500,000 dan ke atas telah didaftarkan bernilai RM689.3 juta di Perlis dan nilai levi kita kutip berjumlah RM861,715. Daripada jumlah ini, 31 peratus adalah projek swasta manakala 69 peratus projek kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan