KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kumpulan sukarelawan misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To Gaza (FFC x TTMG) dari 25 negara termasuk sembilan peserta Malaysia yang ditahan tentera Israel dijangka tiba di pelabuhan Ashdod dalam tempoh 10 hingga 11 jam.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata pada masa ini, berlaku gangguan komunikasi dengan peserta setelah terjadinya pintasan kapal oleh tentera Israel pada 10.50 pagi tadi.
“Kami menjangkakan communication blackout ini akan lebih lama dan kelajuan kapal juga lebih perlahan kerana rejim Israel ingin pastikan delegasi tiba pada waktu malam (waktu tempatan),” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan akan turut serta membawa pulang sembilan sukarelawan Malaysia dan 28 peserta Turkiye ke Istanbul, dengan persiapan sedang dilakukan pada masa ini.
Selain itu, MyCARE menyeru kerajaan dan rakyat Malaysia untuk mengecam jenayah yang dilakukan Israel di samping menuntut pembebasan segera semua sukarelawan, sekali gus mendesak sekatan haram dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan.
“Misi pelayaran ini bukan sahaja untuk sampaikan bantuan kemanusiaan, namun yang berada di atas kapal adalah doktor dan wartawan antarabangsa dari seluruh dunia yang menyatakan solidariti kepada gugurnya nyawa para doktor dan wartawan di Gaza,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi MyCARE Datuk Seri Prof Dr Kamal Nasharuddin Mustapha memaklumkan kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan FFC x TTMG telah dirampas secara haram oleh Israel termasuk yang membawa sembilan sukarelawan Malaysia pada 10.50 pagi waktu Malaysia.
Beliau berkata MyCARE mula terputus hubungan komunikasi dengan sukarelawan pada 10.03 pagi dan ahli keluarga peserta telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Turut berada di atas kapal sama Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala seorang lagi doktor perubatan iaitu Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial