Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program SOORIAN Bakal Jadi Pemangkin Usahawan India Bangkit Sebagai Peneraju - MAICCI

09/10/2025 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Sayap Wanita Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) menyambut baik pelancaran Program SOORIAN yang dilihat sebagai satu platform transformatif untuk komuniti India bangkit serta memainkan peranan lebih besar dalam sektor francais negara.

Ketua Sayap Wanita MAICCI Hemala AP Sivam, ketika mengulas inisiatif yang diumum oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan Ramakrishnan semalam, berkata program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan menyeluruh.

“Menerusi komponen strategik seperti latihan, bimbingan dan akses kepada pembiayaan, Program SOORIAN memperkasa usahawan India yang bercita-cita tinggi dengan sumber serta sokongan yang diperlukan untuk berkembang daripada pemilik perniagaan tempatan kepada francaisor berjaya sekali gus membina sebuah komuniti yang lebih kukuh, berdikari dan berdaya saing.

Ad Banner
Ad Banner

“Inisiatif ini turut mencerminkan semangat sebenar visi Malaysia MADANI, dengan memastikan kemajuan dan kemakmuran dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa Program SOORIAN akan menjadi sumber inspirasi kepada generasi usahawan baharu India yang dinamik dan berdaya tahan sekali gus menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan serta pembangunan ekonomi Malaysia.

Program SOORIAN (Strengthening Opportunities for Outstanding Rising Indian Aspiring New-Franchisors), yang dilaksana oleh Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), menawarkan nilai hampir RM54.5 juta melalui latihan, pembiayaan pusingan, kemudahan pinjaman dan inisiatif pembangunan kapasiti.

Ad Banner

Disasarkan kepada masyarakat India Malaysia berumur antara 18 hingga 60 tahun, program ini dijangka memberi manfaat kepada 1,000 peserta termasuk 400 usahawan mikro dan 100 francaisi atau pemegang lesen, dengan sebahagian daripada mereka dijamin penempatan pekerjaan.

Inisiatif ini akan dilaksanakan dari 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2027, dan dirangka khusus bagi memperkukuh penglibatan komuniti dalam bidang keusahawanan francais.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan