Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Deepavali: Maheshwara Tolak Tawaran Kerja Lumayan, Teruskan Legasi Kuil Kaca Di Johor

18/10/2025 11:21 AM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 18 Okt (Bernama) -- Setiap kali menjelang sambutan Deepavali, deretan cahaya lampu dan pantulan mozek kaca dari Kuil Kaca Arulmigu Sri Rajakaliamman menerangi pekan Johor Bahru, mencipta suasana yang menggamit rasa tenang dan kekaguman dalam kalangan pengunjung pelbagai latar belakang.

Lebih daripada sekadar rumah ibadat, kuil unik yang diasaskan pada 1922 itu menjadi mercu tanda warisan budaya, seni bina dan perpaduan masyarakat, yang menampilkan hampir 300,000 kepingan kaca berwarna-warni yang meliputi dinding, lantai dan siling, sekali gus menjadikannya kuil kaca pertama di Malaysia diiktiraf Malaysia Book of Records pada 2010.

Ad Banner

Namun, di sebalik keindahan yang tersergam itu, tersimpan sebuah kisah luar biasa tentang seorang anak muda S. Maheshwara, 26, yang memilih jalan untuk menyambung legasi tiga generasi keluarganya.

Beliau adalah pelajar cemerlang yang memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemudian melanjutkan pengajian di University of Reading Malaysia, graduan terbaik dalam bidang Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Pengurusan Perniagaan.

“Saya pernah menerima beberapa tawaran kerja daripada syarikat korporat, termasuk di Singapura tapi ada satu ‘tangan ghaib’ yang seolah-olah menarik saya kembali ke kuil ini. Saya tahu, ini adalah jalan hidup saya,” katanya ketika ditemui Bernama di kuil yang terletak di Jalan Tun Abdul Razak di sini baru-baru ini.

Bagi Maheshwara, keputusan untuk menolak peluang kerjaya berpendapatan tinggi bukan satu kehilangan tetapi satu bentuk pengabdian kepada Tuhan, keluarga dan masyarakat.

Beliau memegang peranan sebagai bendahari kuil dan menjadi penyelaras utama dalam pelbagai urusan keagamaan serta logistik di kuil berkenaan.

“Mungkin ada yang anggap tindakan saya ini tidak rasional tapi bagi saya, inilah cara terbaik untuk menyumbang. Saya tidak lakukan ini untuk wang. Ini adalah ibadah saya,” katanya.

Kuil yang kini dikendalikan oleh bapanya S. Sinnathamby, 59, selaku Pengerusi Kuil Kaca Arulmigu Sri Rajakaliamman telah menjalani kerja baik pulih besar-besaran sejak 2020, termasuk pembinaan semula Gopuram (menara kuil) dan penggantian hampir keseluruhan kaca mozek asal yang telah pudar.

“Kami menggantikan kira-kira 90 peratus daripada kaca lama dengan bahan baharu yang diimport dari Thailand dan China. Ia bukan kerja mudah, proses ini memerlukan ketelitian kerana setiap kepingan kaca ada nilai keistimewaannya,” katanya.

Kerja baik pulih yang menelan belanja hampir RM2 juta itu selesai pada Mac tahun lepas selepas tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, namun hasilnya kini menjadikan kuil lebih menyerlah dan kembali bersinar.

Maheshwara berkata kerja pemulihan kuil itu dilakukan tanpa menjejaskan operasi harian, menyebabkan beliau dan pasukannya bekerja hingga ke awal pagi pada setiap malam, semata-mata mahu memastikan kesucian dan keindahan kuil terpelihara.

Kini, menjelang sambutan Deepavali pada Isnin, Maheshwara dan pasukannya giat membuat persiapan terakhir bagi menerima ribuan penganut Hindu yang dijangka hadir untuk sembahyang di kuil berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada tradisi kuil, beliau berkata pihak pengurusan turut menyediakan makanan vegetarian percuma kepada semua pengunjung tanpa mengira kaum dan agama, selaras dengan semangat perpaduan yang dibawa oleh perayaan Deepavali.

“Cahaya Deepavali bukan hanya datang daripada lampu atau kaca. Ia datang daripada kasih sayang, nilai dan perpaduan yang kita bina bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan