Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Pemendekan tempoh penyaluran bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) daripada empat bulan kepada dua bulan bukan sekadar pelarasan pentadbiran, sebaliknya mencerminkan anjakan transformasi kerajaan ke arah memperkukuh kelestarian pengeluaran domestik serta meningkatkan daya tahan pesawah.
Langkah mengurangkan kerenah birokrasi itu disifatkan sebagai “nafas” kepada golongan pesawah yang berdepan tekanan kos, bencana alam dan ketidaktentuan iklim, sekali gus membolehkan mereka meneruskan penanaman tanpa menanggung kerugian berpanjangan.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob berkata kebanyakan pesawah kini amat memerlukan bantuan tabung itu disegerakan, khususnya selepas bencana, bagi memastikan kelangsungan tanaman dan kehidupan seharian mereka.
Mengusahakan sawah di Alor Setar, Kedah sejak hampir 20 tahun lalu, Abdul Rashid, 46, berkata cabaran dalam sektor yang menjadi tulang belakang sekuriti makanan negara itu semakin kompleks sejak lima tahun kebelakangan ini, melibatkan kenaikan kos operasi, perubahan iklim, bencana alam serta ancaman penyakit dan serangga perosak.
“Saya mengusahakan sawah hampir 20 tahun dan bersama petani lain, kami benar-benar merasai cabaran menanam padi yang semakin sukar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Misalnya, pada tahun ini sahaja, purata enam hingga tujuh kali sawah kami ditenggelami banjir,” katanya.
Beliau berkata sebelum ini pesawah mampu memperoleh hasil sekitar tujuh hingga lapan metrik tan sehektar, namun akibat perubahan iklim dan serangan penyakit, hasil kini merosot kepada sekitar empat hingga lima metrik tan sahaja.
Menurut Abdul Rashid, yang mengusahakan enam hektar sawah, rekod PeSAWAH mendapati hampir 80 peratus pesawah terpaksa berhutang bagi meneruskan penanaman dan menampung perbelanjaan harian.
Beliau turut merujuk kejadian banjir besar di Kubang Pasu, Kedah pada November lepas yang menenggelamkan lebih 10,000 hektar sawah, menyebabkan kerugian dianggarkan antara RM5,000 hingga RM6,000 bagi setiap hektar.
“Modal tanaman sekitar RM5,000 sehektar habis digunakan tetapi sawah rosak. Kami perlu bermula semula, namun kekangan kewangan menyebabkan ramai terpaksa berhutang. Justeru, langkah kerajaan memendekkan tempoh proses bantuan tabung ini amat bermakna dan memberi kelegaan kepada kami,” katanya.
Beliau berkata selama ini pesawah berhadapan pelbagai kerenah birokrasi, justeru komitmen kerajaan MADANI amat diperlukan bagi membantu golongan itu selepas pascabencana memandangkan pola cuaca kini semakin sukar diramalkan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata analisis data hujan selama 25 tahun menunjukkan purata hujan tahunan di Kedah bagi tempoh 2020 hingga 2024 secara umumnya lebih tinggi berbanding tempoh sebelumnya.
Beliau berkata peningkatan itu lebih ketara antara 2020 hingga 2022 serta tahun ini, dengan kejadian banjir besar pada November lepas antara kesan signifikan taburan hujan tinggi di pantai barat Semenanjung Malaysia.
“Peningkatan taburan hujan ini boleh dikaitkan secara signifikan dengan pengaruh kitaran El Niño Southern Oscillation (ENSO) dan Indian Ocean Dipole (IOD). Kedua-dua fasa lembap ENSO (La Niña) dan fasa negatif IOD cenderung meningkatkan taburan hujan di Semenanjung Malaysia.
“Apabila kedua-dua fenomena ini berlaku serentak, taburan hujan di pantai barat Semenanjung berpotensi meningkat antara 20 hingga 40 peratus berbanding purata jangka panjang,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar berkata kejayaan memendekkan tempoh pembayaran TBTP membuktikan komitmen perkhidmatan awam kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan pesawah serta menjamin kelestarian makanan negara.
Beliau berkata sebelum reformasi, permohonan bantuan perlu melalui lima peringkat kelulusan melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), ibu pejabat LPP, LPP negeri, agensi seperti MADA dan KADA serta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
“Proses yang panjang ini menjejaskan kelangsungan ekonomi pesawah, khususnya selepas bencana. Oleh itu, reformasi ini penting bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan kelulusan permohonan,” katanya.
"Pesawah terpaksa menanggung kerugian hasil, modal sudah habis, tiada bantuan segera, membuatkan mereka tidak yakin dengan kerajaan.
Mahfuz berkata reformasi itu mengurangkan peringkat kelulusan daripada lima kepada tiga lapisan, selain kerjasama dengan Agrobank bagi mempercepatkan pemindahan dana melalui sistem perbankan elektronik serta pemantauan berterusan Jawatankuasa Teknikal dan Induk TBTP bagi memastikan bayaran dilaksanakan secara telus dan teratur.
“Hasil reformasi ini, tempoh pemprosesan bayaran berjaya dipendekkan daripada empat bulan kepada dua bulan, sekali gus mempercepatkan proses bayaran sebanyak 50 peratus,” katanya.
Beliau berkata pemendekan tempoh TBTP berpotensi meningkatkan kepuasan pesawah terhadap kecekapan kerajaan selaras dengan prinsip tatakelola baik, perkhidmatan pantas, telus dan mesra rakyat yang ditekankan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial