Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Nasi Buluh, Nyanyian Kampung Warnai Sambutan Krismas Orang Asli Temiar Di Gua Musang

25/12/2025 03:43 PM

GUA MUSANG, 25 Dis (Bernama) -- Kepulan asap nipis daripada buluh yang dibakar, nyanyian kanak-kanak dan gelak tawa penduduk kampung mewarnai sambutan Hari Natal dalam kalangan masyarakat Orang Asli di pedalaman Kelantan.

Bagi komuniti Temiar, Krismas bukan sekadar perayaan keagamaan, sebaliknya menjadi wadah memelihara identiti budaya melalui jamuan nasi dalam buluh, keramaian kampung serta aktiviti bersama yang merapatkan hubungan sesama penduduk.

Tradisi itu dizahirkan menerusi sambutan yang berlangsung secara sederhana, melibatkan seluruh ahli keluarga dan penduduk kampung tanpa mengira usia, sekali gus mencerminkan keakraban komuniti Orang Asli dalam meraikan kepelbagaian.

Wanita suku kaum Temiar, Amah Angah, 46, berkata sambutan Hari Natal dimulakan dengan aktiviti keagamaan sebelum diteruskan dengan jamuan makan, ziarah-menziarahi serta pertukaran hadiah dalam kalangan ahli keluarga dan rakan taulan.

“Selain berbual mesra dengan ahli keluarga yang jarang berjumpa, kami juga mengadakan permainan untuk menceriakan suasana perayaan. Juadah pula disediakan secara bergotong-royong, antaranya nasi dalam buluh, ayam dan beberapa makanan sampingan lain untuk dinikmati bersama,” katanya kepada Bernama hari ini.

Amah berkata sambutan Hari Natal dalam komuniti mereka lazimnya diraikan sehingga seminggu dengan pelbagai aktiviti termasuk nyanyian koir dalam kalangan kanak-kanak, sesi karaoke serta pemberian gula-gula kepada anak-anak penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng berkata komuniti Kristian dalam kalangan masyarakat Orang Asli adalah golongan minoriti, namun tetap diraikan bersama oleh seluruh penduduk kampung.

“Walaupun berbeza agama, kami tetap mengamalkan adat yang sama. Sambutan perayaan diraikan melalui aktiviti keramaian seperti nyanyian dan tarian beramai-ramai yang melibatkan penduduk,” katanya.

Sementara itu, seorang penganut Kristian dari Kota Bharu Cynthia Teo, 52, berkata sambutan Krismas kali ini memberi tumpuan kepada kebersamaan keluarga apabila mereka meluangkan masa bersama dengan harapan dapat melangkah ke tahun baharu dalam suasana kehidupan yang lebih harmoni di negeri berbilang kaum, agama dan budaya.

“Kami berkumpul sebagai sebuah keluarga untuk meraikan Krismas dengan hati yang penuh kesyukuran dan kasih sayang, bukan sahaja bersama ahli keluarga dan rakan seagama, malah rakan daripada agama lain,” katanya.

Beliau berkata sambutan itu menjadi lebih bermakna apabila beliau bersama rakan-rakan dapat melakukan persiapan di gereja tanpa sebarang kekangan, termasuk menghias gereja dengan pokok Krismas dan lampu hiasan, selain membuat persiapan nyanyian serta persembahan lagu-lagu Krismas.

“Kami berdoa agar keluarga sentiasa dilindungi, dapat saling mengasihi dan menjalani kehidupan dengan hati yang penuh kesyukuran, sekali gus menyambut tahun baharu dalam suasana damai serta mengekalkan perpaduan di Kelantan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan