Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penambahbaikan Waktu Bekerja, Elaun Lebih Masa - KPPA

26/12/2025 05:10 PM

PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) -- Kerajaan melaksanakan beberapa penambahbaikan berkaitan waktu bekerja dan tuntutan elaun lebih masa susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa mulai 1 Dis 2024.

Menerusi penambahbaikan kepada Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.4.3.1 dan SR.4.4.1, jumlah jam bekerja seminggu bagi pegawai di bawah kategori Waktu Bekerja Bukan Pejabat (WBBP) dikurangkan satu jam kepada 45 jam seminggu termasuk waktu rehat, selaras dengan Waktu Bekerja Pejabat.

Arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, melalui surat pekeliling bertarikh 18 Dis, yang dikongsikan menerusi Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini. 

Surat pekeliling berkenaan dihantar kepada perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

“Sebagai panduan kepada kementerian/ jabatan/ agensi, satu Garis Panduan Pelaksanaan Tuntutan Elaun Lebih Masa telah disediakan dan dijadikan lampiran kepada Ceraian SR.4.3.1, manakala Ceraian SR.4.4.1 dipinda sesuai dengan penambahbaikan yang dilaksanakan pada Ceraian SR.4.3.1,” katanya dalam pekeliling itu. 

Beliau berkata pegawai WBBP turut diberikan fleksibiliti dalam pengiraan tempoh bekerja apabila jumlah 45 jam seminggu boleh dipenuhi secara purata bagi empat minggu berturutan sekiranya jam bekerja bagi sesuatu minggu kurang daripada tempoh ditetapkan.

“Bagi pegawai yang bekerja melebihi 45 jam seminggu atau 45 jam purata empat minggu berturutan, pegawai layak menerima Elaun Lebih Masa mengikut syarat dan kadar yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata pengiraan 45 jam boleh dibuat secara purata bagi empat minggu berturutan untuk tujuan memenuhi syarat 45 jam waktu bekerja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan