Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kajian PSSCM Sumbang Kepada Pembangunan Bangsa, Negara

28/12/2025 10:58 AM

ALOR SETAR, 28 Dis (Bernama) -- Kajian dan penyelidikan dijalankan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dapat membantu melahirkan rakyat berfikiran kritis serta berakhlak mulia yang seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.

Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang juga Timbalan Penaung PSSCM bertitah pada usia 60 tahun, PSSCM berjaya melahirkan ramai cendekiawan serta menghasilkan 60 judul kajian ilmiah dan penyelidikan.

“Adab dan adat seni silat merupakan kaedah pembelajaran tidak langsung diwarisi dari generasi ke generasi dan nilai itu menjadi benteng yang melindungi agama, bangsa dan negara. Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga mengiktiraf seni silat sebagai Warisan Dunia Tidak Ketara.

“Pengiktirafan itu memperlihatkan seni silat sebagai satu sumber kajian ilmiah dalam bidang antropologi, sosiologi, pendidikan jasmani dan warisan budaya. Aktiviti kajian ilmiah dan penyelidikan budaya seni silat juga membuka ruang kepada penemuan baharu yang memperkaya ilmu bangsa,” titah baginda.

Tengku Sarafudin bertitah demikian pada Majlis Malam Gemilang “Sirih Pulang Ke Gagang” sempena Sambutan Jubli Intan 60 tahun Silat Cekak di sini, malam tadi.

Baginda bertitah pembangunan ilmu dalam aspek kajian budaya PSSCM wajar dijadikan contoh kerana ia berterusan sama ada pada peringkat tempatan dan antarabangsa, mampu menyumbang kepada pemerkasaan ilmu, pengukuhan identiti bangsa serta pengiktirafan warisan budaya di pentas dunia.

“Beta berbangga PSSCM di bawah naungan beta menjadi institusi silat yang menggerakkan aktiviti kajian ilmiah dan penyelidikan budaya. Usaha ini untuk generasi akan datang yang perlu dibimbing dengan ilmu dan budaya kerana mereka pewaris yang menyumbang kepada pembangunan semula tamadun,” titah baginda.

Sementara itu, Presiden PSSCM Datuk Maideen Kadir Shah berkata pemilihan Kedah sebagai lokasi program sebagai penghargaan kepada asal usul dan warisan persilatan yang bermula di negeri itu sebelum berkembang ke seluruh negara.

“Negeri ini akar dan tapak sejarah bermulanya silat. Kita mahu pastikan kesucian, keaslian dan kesinambungan silat cekak ini terpelihara dan institusi raja berperanan sebagai simbol penyatuan dan perlindungan kepada ilmu seni silat ini sendiri.

“Kita mahu memperkenalkan silat kepada orang luar kerana ia antara cara mengekalkan perpaduan dan keharmonian semua. Sekarang, silat berjaya dikembangkan di Sydney, Australia dan mungkin selepas ini ke seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan