Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MCMC Siasat Hantaran Palsu Guna Logo Buletin TV3

30/12/2025 12:01 PM

PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka satu kertas siasatan berhubung penularan hantaran palsu di media sosial yang menggunakan logo dan identiti visual Buletin TV3 bagi menyebarkan maklumat tidak benar kononnya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, mengeluarkan kenyataan mengenai penutupan TikTok Malaysia.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan awal mendapati kandungan berkenaan telah diubah suai dan disahkan sebagai palsu, selain menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi. 

Menurut kenyataan itu, Media Prima Bhd turut membuat laporan polis dan menafikan bahawa hantaran berkenaan diterbitkan oleh Buletin TV3 atau mana-mana platform berita di bawah rangkaian syarikat itu.

MCMC menegaskan bahawa penggunaan logo, nama serta identiti visual Buletin TV3 berkenaan merupakan satu bentuk penyalahgunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Seorang individu yang disyaki terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangannya dirakam oleh MCMC di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Perak,” menurut MCMC.

MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi tujuan analisis forensik digital.

Selain itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum memuat naik, berkongsi atau mengulas di media sosial kerana penyebaran kandungan palsu serta penyalahgunaan identiti boleh membawa kepada tindakan undang-undang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan