Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Great Eastern Takaful Rai Ulang Tahun Ke-15 Dengan Identiti Jenama Baharu

31/12/2025 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB) melancarkan logo korporat baharu pada Selasa, sekali gus menandakan transformasi sempena ulang tahun ke-15  syarikat pengendali takaful keluarga itu.

Ditubuhkan pada 10 Dis 2010, Great Eastern Takaful telah berkembang menjadi penyedia takaful keluarga dipercayai yang terus melindungi keluarga, memperkasakan komuniti serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

“Tahun ini mencatatkan detik bersejarah menerusi pelancaran logo korporat baharu, menandakan fasa transformasi ke arah organisasi yang berpandangan jauh, berasaskan data dan bersedia untuk masa depan. 

“Berteraskan nilai penjenamaan induk yang telah menabur bakti di Malaysia selama 117 tahun, logo baharu ini melambangkan identiti jenama yang menyatukan Kumpulan Great Eastern secara keseluruhannya,” menurut GETB dalam kenyataan hari ini.

 GETB memaklumkan logo berkenaan turut mengukuhkan kedudukan unik syarikat itu sebagai satu jenama yang berinovasi dan bermatlamat dalam menawarkan penyelesaian berasaskan syariah yang disesuaikan dengan pelbagai keperluan pelanggan.

Menurut kenyataan itu, pada tahun ini, Great Eastern Takaful mencatat prestasi menerusi segmen perniagaan terasnya, disokong oleh kekuatan warga agensi yang semakin berkembang dengan pertambahan perunding takaful kedua tertinggi, serta kerjasama pihak bancatakaful dan korporat.

Kerjasama strategik antara rakan bank dan korporat yang utuh, menurut GETB, membantu memperluas capaian di samping mengekalkan fokus terhadap kualiti perkhidmatan, kepercayaan dan penyelesaian patuh syariah.

Produk berinovasi, kekal sebagai pemacu pertumbuhan dengan pelancaran produk takaful yang mementingkan pelanggan seperti i-Great Majestik, i-Great Chinta dan i-Medi Evolusi Rider, yang direka untuk memenuhi keperluan sentiasa berubah dalam aspek kesihatan, perlindungan, pendidikan, legasi dan persaraan bagi memastikan ia relevan di setiap peringkat kehidupan.

“Dengan kerjasama dan usaha berterusan, sekali lagi Great Eastern Takaful dinobatkan sebagai Penyedia Takaful Terbaik oleh The BrandLaureate BestBrands Awards 2025.

“Antara agenda penting pada tahun ini ialah kepimpinan Great Eastern Takaful dalam memacu literasi kewangan berskala besar, yang telah meraih dua pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi usaha celik kewangan, termasuk sesi literasi kewangan digital tanpa henti selama 24 jam dan sesi Kahoot! kewangan interaktif terbesar di Malaysia,” menurut kenyataan itu. 

Great Eastern Takaful juga terus berkhidmat menerusi mySalam iaitu skim perlindungan kesihatan nasional yang telah diamanahkan sejak 2019. 

Diurus dengan penuh tanggungjawab, setakat 30 Nov lepas, mySalam telah melindungi lebih 1.8 juta rakyat Malaysia dengan jumlah bayaran tuntutan melebihi RM1.33 bilion dan mengukuhkan komitmen syarikat terhadap perlindungan inklusif bagi menyokong komuniti B40 dan golongan memerlukan.

Menurut kenyataan itu, kelestarian serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) turut kekal sebagai agenda utama Great Eastern Takaful pada tahun ini dengan usaha pemeliharaan alam sekitar diteruskan melalui inisiatif hasil semula, program kitar semula serta kempen kesedaran alam sekitar, di samping memperkasakan warga kerjanya untuk menyumbang secara aktif kepada kelestarian.

“Komitmen ini diperkukuh melalui Great Innovation Challenge, pertandingan peringkat kebangsaan melibatkan semua universiti di Malaysia, sebagai platform inovasi yang menggalakkan generasi muda mencipta penyelesaian praktikal, berasaskan AI dan bersedia untuk masa depan demi masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang tahun ini, Great Eastern Takaful turut memperluas akses pendidikan, meningkatkan kualiti hidup bagi komuniti yang kurang bernasib baik dan menambah baik infrastruktur termasuk program jangkauan berskala besar pertama di Pulau Bum Bum, Sabah. 

Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman menerusi kenyataan sama berkata dalam meraikan ulang tahun ke-15, 2025 membuktikan kemampuan syarikat menerusi pelancaran produk perlindungan, mencipta rekod literasi kewangan serta memacu kelestarian melalui inisiatif seperti Great Innovation Challenge.

“Literasi kewangan, inovasi dan kelestarian bukan suatu pertambahan kepada operasi perniagaan, ia adalah asas untuk membina individu, keluarga dan komuniti yang berdaya tahan. Pencapaian ini tercapai hasil dedikasi warga kerja kami, rakan edaran serta kepercayaan rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan