KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) akan terus memperkasa pembangunan belia serta kepimpinan generasi muda menerusi penganjuran pelbagai program berskala besar di peringkat nasional dan antarabangsa termasuk Jambori Malaysia 2026 di Pulau Pinang.
Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd Zin Bidin berkata penganjuran itu bersempena ulang tahun ke-60 Jambori Malaysia sejak pertama kali diadakan pada 1966 sekali gus menjadi simbol kesinambungan sejarah dan evolusi pergerakan pengakap di Malaysia.
"Acara ini akan memfokuskan pembangunan kepimpinan, penguasaan kemahiran hidup, pemupukan semangat patriotisme serta pembinaan jaringan sosial dalam kalangan belia dari seluruh negara," katanya ketika menjadi tetamu Program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata Jambori Antarabangsa Terengganu (TIJ 100) yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 21 Dis 2026 pula dijangka menghimpunkan penyertaan antarabangsa dengan penekanan kepada kepimpinan global, pertukaran budaya dan pengukuhan persefahaman antara belia pelbagai negara.
Dr Mohd Zin berkata aktiviti tahunan seperti JOTA-JOTI (Jamboree on the Air-Jamboree on the Internet) dan sambutan Hari Pengakap Malaysia akan diteruskan sejajar perkembangan teknologi serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selain agenda pembangunan modal insan negara.
Beliau juga berkata inisiatif Sahabat Pengakap akan terus diperkasa sebagai platform kolaborasi strategik melibatkan alumni, rakan industri, badan korporat dan komuniti awam bagi menyokong pembangunan program, pembiayaan serta jaringan sokongan kepada pergerakan pengakap.
“Melalui perancangan menyeluruh ini, Pengakap Malaysia bertekad untuk terus melahirkan generasi muda yang berjiwa kepimpinan, berintegriti serta mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat, negara dan komuniti global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial