Ad Banner
 AM > BERITA

Melaka Antara Destinasi Pemangkin Segmen Pelancongan Kesihatan Sempena TMM2026

01/01/2026 05:41 PM

MELAKA, 1 Jan (Bernama) -- Melaka merupakan antara destinasi yang dikenal pasti sebagai pemangkin segmen pelancongan kesihatan khususnya pelancong dari Indonesia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pengarah Bahagian Pentadbiran Tourism Malaysia Amirul Ariffin Md Nasir berkata kepakaran dan kos yang kompetitif merupakan antara tarikan unik atau unique selling proposition yang menjadikan Melaka pilihan pelancong kesihatan dari negara itu bagi mendapatkan perkhidmatan saringan, pemeriksaan serta rawatan sekali gus memberi pulangan baik kepada industri pelancongan Malaysia.

Beliau berkata selain itu, Melaka menjadi pilihan kerana menawarkan pelbagai segmen pelancongan lain seperti makanan, beli-belah, kesenian, kebudayaan serta warisan dan akses mudah selain masa yang singkat untuk ke Melaka seperti melalui laluan air di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai.

"Sehubungan itu, Tourism Malaysia sentiasa bekerjasama dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) bagi memacu industri itu di bawah Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana (FMTH) khususnya bagi pasaran Indonesia. 

"Usaha ini sejajar dengan inisiatif Kerajaan MADANI yang telah menyediakan peruntukan melalui Belanjawan 2026 sebanyak RM20 juta dengan hasrat menarik minat pelancong kesihatan dengan jumlah pendapatan hingga RM3 bilion," katanya kepada pemberita selepas program sambutan khas pelancong sempena TMM2026 di ICQS Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai di sini hari ini. 

Pada program itu, seramai 160 pelancong dari Dumai, Indonesia yang tiba di Melaka menggunakan feri di ICQS berkenaan pada kira-kira 12.15 tengah hari disambut dengan meriah.

Amirul Ariffin juga berkata Tourism Malaysia sentiasa menyokong usaha setiap kerajaan negeri bagi memacu industri pelancongan masing-masing termasuk Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata lebih 300 acara turut dianjurkan sempena TMM2026 di seluruh negara menerusi pelbagai segmen pelancongan untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

"Tourism Malaysia menyokong usaha tiga negeri berkenaan menerusi kempen dan promosi bagi membantu menarik pelancong tetapi penganjurannya bergantung pada inisiatif negeri terlibat," katanya.

Bagi Dwi Ambar Setyaningsih, 36, Melaka dan Malaysia menjadi pilihan beliau sekeluarga bukan sahaja untuk menyambut tahun baharu tetapi juga bagi menikmati keistimewaan dan keunikan pelbagai makanan yang enak serta menerokai destinasi pelancongan di negara ini.

"Kalau ke Melaka, saya dan keluarga akan cari makanan enak serta jajan seperti coklat gula Melaka selain jalan-jalan di Jonker Walk serta Bangunan Merah… kalau ke Kuala Lumpur, kami akan cari nasi kandar dan nasi lemak.

"Saya telah melancong ke Malaysia sebanyak tiga kali dan kali ini bersama lima lagi ahli keluarga untuk melancong ke Melaka dan Kuala Lumpur selama tiga hari," kata suri rumah dari Dumai itu.

Wesly Siagian, 40, juga dari Dumai, pula berkata suasana aman, destinasi menarik dan rakyat Malaysia yang ramah menjadi faktor utama beliau dan keluarga memilih untuk melancong ke negara ini.

"Ini kali ketiga kami melancong ke Malaysia… kali ini, kami berada di sini selama empat hari dan akan ke Genting Highlands, Bukit Bintang, Menara Berkembar Petronas dan Jonker Walk," katanya yang melancong bersama isteri dan dua anak mereka.

-- BERNAMA

    

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan