Ad Banner
 AM > BERITA

Pelaburan RM900 Juta Di Johor Buka Peluang Pekerjaan Berkemahiran Tinggi - MB

01/01/2026 06:16 PM

JOHOR BAHRU, 1 Jan (Bernama) -- Pelaburan Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd melalui anak syarikatnya, Singda Superalloy (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM900 juta di Johor dijangka membuka lebih 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi moden.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata syarikat berpangkalan di Shanghai, China itu merupakan sebuah syarikat berteknologi tinggi yang berperanan penting dalam rantaian bekalan global industri aeroangkasa, tenaga dan kejuruteraan berat.

“Lebih bermakna pelaburan ini turut disokong melalui kerjasama strategik bersama-sama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termasuk peluang latihan, pembangunan bakat serta tawaran sekurang-kurangnya 50 peluang pekerjaan graduan dengan pendedahan latihan di Malaysia dan China.

“Semoga usaha ini membawa manfaat kepada rakyat, membuka masa depan anak muda dan memacu Johor ke hadapan selari dengan aspirasi Maju Johor 2030. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Onn Hafiz berkata beliau bersama-sama delegasi Johor telah mengadakan lawatan ke Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd pada 17 Dis, dan berharap inisiatif dilakukan itu dapat memastikan anak Johor bukan sekadar menjadi tenaga kerja tetapi pemain utama dalam industri masa hadapan.

Beliau berkata mereka turut membincangkan pembentukan kluster rantaian bekalan industri bersama rakan ekosistem strategik. 

“Usaha ini dijangka mewujudkan limpahan ekonomi lebih luas kepada syarikat tempatan, perusahaan kecil dan sederhana serta penyedia perkhidmatan di Johor, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab perindustrian berteknologi tinggi yang berdaya saing.

“Saya yakin usaha ini akan menjadi pemangkin kepada pelaburan berkualiti tinggi, peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran anak tempatan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang untuk rakyat Johor,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan