PADANG RENGAS, 3 Jan (Bernama) -- Sebanyak 500 pelajar dalam Parlimen Padang Rengas menerima bantuan program Sumbangan Kasih MADANI: Kembali ke Sekolah 2026 yang melibatkan peruntukan RM50,000 dalam usaha meringankan beban keluarga mereka menjelang sesi persekolahan.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata penerima sumbangan terdiri daripada golongan keluarga berpendapatan rendah yang berusia dari tujuh hingga 18 tahun.
“Pemilihan penerima dilakukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daerah Kuala Kangsar dan ini merupakan bantuan tambahan selepas kerajaan memperuntukkan lebih RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan baru-baru ini,” katanya.
Muhammad Kamil berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sumbangan Kasih MADANI Back To School Parlimen Padang Rengas 2026 di perkarangan Pusat Komuniti Rakyat, Taman Puncak Bogeinvilla, di sini hari ini.
Beliau berharap sumbangan tersebut digunakan sebaiknya oleh ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing.
Sementara itu, Che Normah Ahmad, 71, berkata sumbangan itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan cucunya Ahmad Iman Izz Qarish Abdullah, lapan tahun yang menghidap kanser darah sejak lahir.
“Bantuan seperti ini sangat membantu keluarga seperti saya yang mempunyai cucu berkeperluan khas dan menghadapi masalah kesihatan kerana kos rawatan menjadi tanggungan yang besar,” katanya.
Che Normah berharap program itu dapat diteruskan pada masa hadapan supaya lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat manfaat, sekali gus mengurangkan beban kewangan ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu.
“Walaupun nilainya mungkin kecil bagi sesetengah pihak, bagi kami sangat bermakna. Setiap sen membantu meringankan beban keluarga dan memberi semangat kepada anak untuk terus belajar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial