Ad Banner
 AM > BERITA

Jaga Sensitiviti, Elak Polemik Tidak Perlu - Muhammad Kamil

03/01/2026 05:21 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Semua pihak mempunyai peranan penting untuk menjaga sensitiviti dan mengelakkan tercetusnya polemik yang tidak perlu ketika mengemukakan pandangan, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata setiap pendapat yang disuarakan mestilah bersifat membina dan berlandaskan kepada kepentingan rakyat secara menyeluruh.

Beliau berkata selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai ihsan, kepercayaan dan kemajuan bersama, adalah wajar semua pihak meneruskan pendekatan berhemah, memperkukuh kerjasama serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara.

“Hakikatnya, kita semua adalah satu keluarga besar. Perbezaan pandangan adalah lumrah, justeru, perlu diurus dengan semangat saling menghormati, memahami dan menyantuni antara satu dengan yang lain. 

“Walaupun berlainan latar belakang dan bangsa, kita tetap dengan satu tujuan sama, memelihara keharmonian dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menerusi hantaran itu, Muhammad Kamil turut menyertakan tangkap layar daripada akhbar tempatan bertajuk 'Konvensyen Khas Pemuda UMNO diteruskan - Dr Muhamad Akmal'. 

Konvensyen sehari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) itu merupakan platform untuk membincang, meneliti serta membuat keputusan mengenai hala tuju UMNO susulan perkembangan politik ketika ini.

Muhammad Kamil turut merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh atas penganjuran konvensyen berkenaan dan berharap segala perbincangan yang berlangsung membawa kebaikan dan manfaat buat negara.

“Semoga konvensyen khas ini menjadi ruang yang matang dan bermakna untuk memperkukuh peranan generasi muda dalam menyumbang idea serta pandangan membina demi masa depan negara.

“Dalam realiti Malaysia yang majmuk, kestabilan dan keharmonian hanya dapat dipelihara melalui kebijaksanaan, kesederhanaan dan rasa tanggungjawab bersama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan