KOTA KINABALU, 3 Jan (Bernama) -- Pembinaan premis tamu desa menjadi manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya peringkat kampung di seluruh Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata antara kemudahan dibangunkan termasuk di Tamu Desa Kampung Ramayah, Penampang dekat sini, hasil pelaksanaan Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) tahun lepas.
“Tamu desa ini adalah antara kemudahan dipohon oleh pemimpin kampung semasa saya menerajui KUSKOP. Tamu di kampung ini diadakan setiap hari Sabtu, dikendalikan oleh Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) Kampung Ramayah dan telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan kecil tempatan untuk menjalankan aktiviti jualan.
“Perkembangan ini membuktikan kemudahan disediakan kerajaan selaras dengan keperluan sebenar usahawan mikro dan kecil di peringkat kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ewon berkata keutamaan kementerian itu adalah memperkasa PMKS sebagai antara pemacu utama ekonomi negeri.
“Portfolio pengangkutan di bawah kementerian saya memberi tumpuan kepada aspek logistik, melibatkan tiga agensi yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Kerja Raya Sabah iaitu Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Jabatan Kereta Api Negeri Sabah dan Jabatan Dermaga Sabah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial