JOHOR BAHRU, 5 Jan (Bernama) -- Kerajaan Johor memberi jaminan bahawa setiap projek pembangunan pusat data di negeri ini dinilai secara menyeluruh dan ketat sebelum sebarang kelulusan diberikan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata Jawatankuasa Teknikal Khas bagi permohonan pembangunan pusat data telah ditubuhkan bagi menilai kebolehlaksanaan setiap projek secara holistik, khususnya melibatkan keperluan bekalan air dan elektrik, selain isu utiliti serta kesesuaian zon pembangunan.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan dianggotai semua jabatan dan agensi teknikal berkaitan di peringkat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata antara aspek utama yang diteliti ialah nilai Water Usage Efficiency (WUE) yang digunakan oleh pusat data, selain jumlah keseluruhan air yang diperlukan bagi keseluruhan pembangunan projek.
“Ramai yang bimbang terhadap perkembangan pusat data di Johor kerana berdasarkan kefahaman umum, pusat data menggunakan jumlah air yang besar bagi menyejukkan perkakasan, sekali gus berpotensi menjejaskan kapasiti air terawat sedia ada,” katanya.
Beliau berkata Johor telah menetapkan prasyarat WUE yang dibenarkan adalah di bawah 1.8, iaitu selaras dengan standard yang diguna pakai di Singapura. Walaupun sesebuah pusat data mencatatkan WUE di bawah 1.8, kelulusan tetap tertakluk kepada tahap kecukupan sumber air di kawasan terlibat.
“Pematuhan terhadap nilai WUE semata-mata tidak menjamin kelulusan, sebaliknya ia turut bergantung kepada ketersediaan air di lokasi pembangunan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata terdapat pelbagai teknologi penyejukan moden yang mampu mencapai nilai WUE jauh lebih rendah daripada had ditetapkan, antaranya Immersion Cooling sama ada satu fasa atau dua fasa, serta Direct-to-Chip Liquid Cooling (DCD) yang mencatatkan WUE sekitar 0.05 hingga 0.2.
Selain itu, katanya, terdapat juga teknologi penyejukan yang tidak memerlukan penggunaan air secara langsung seperti sistem Chilled Water bersama CRAH (Dry Coolers), DX CRAC (penyejukan udara) serta sistem In-Row atau Close-Coupled Air, yang hanya menggunakan air minimum bagi keperluan domestik seperti tandas dan dapur.
Menurutnya, sekiranya pusat data masih memerlukan air sebagai medium penyejukan pelayan, jawatankuasa teknikal akan mengarahkan perunding projek untuk mempertimbangkan sumber air alternatif, selain bergantung sepenuhnya kepada bekalan air terawat sedia ada.
“Dalam beberapa kes, pemaju pusat data turut diminta menggunakan air pulih guna yang dirawat daripada lori rawatan kumbahan ke loji rawatan air pulih guna. Antara pusat data yang telah mengguna pakai pendekatan ini ialah Bridge Data Centres (BDC) dan Computility Technology (Malaysia),” katanya.
Beliau berkata terdapat juga projek pusat data yang diarahkan bekerjasama dengan Johor Special Water (JSW) bagi membekalkan sumber air alternatif yang sesuai digunakan oleh sistem cooling tower, tanpa menjejaskan bekalan air terawat kepada pengguna awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial