AM > BERITA

Pelajar UiTM Maut, Ibu Sifatkan Anak Penyayang, Berbudi

05/01/2026 04:41 PM

REMBAU, 5 Jan (Bernama) -- Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Nur Ain Zulaisya Zahrain yang maut selepas motosikal dinaikinya terbabas di Jalan Chengkau-Panchang-Lubok China semalam, disifatkan sebagai seorang anak yang penyayang, lembut serta mendengar kata ibu bapa.

Ibu mangsa, Ayu Zana Zahari, 45, berkata anak perempuannya yang merupakan pelajar Diploma Komunikasi Media juga bercita-cita untuk meraih Anugerah Dekan pada setiap semester bagi membanggakan keluarga.

Suri rumah itu berkata seluruh keluarga masih bersedih atas pemergian mengejut anak keduanya berusia 19 tahun itu namun reda dengan ketentuan Allah.

“Nur Ain merupakan anak kedua daripada tiga beradik, dia anak yang sangat baik, selalu tolong keluarga, dia juga seorang yang lembut.

“Kami sempat buat panggilan video malam sebelum kejadian petang semalam, bertanya khabar dan dia ada maklumkan rakannya akan sewa motor kerana ada hal (yang perlu diuruskan). Allah SWT lebih sayangkan anak saya, saya reda dengan pemergiannya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ayu Zana turut merakamkan penghargaan khususnya kepada pihak pengurusan UiTM Kampus Rembau, yang banyak membantu keluarganya termasuk menyediakan penginapan, menemani mereka di Unit Forensik Hospital Rembau serta memudahkan urusan pengurusan jenazah Allahyarham Nur Ain.

Beliau berkata UiTM juga menyediakan sebuah bas yang disertai pensyarah dan pelajar bagi mengiringi jenazah anaknya yang akan dikebumikan di Manjung, Perak hari ini.

“Saya amat bersyukur atas keprihatinan pihak UiTM. Sokongan moral diberikan kepada keluarga kami ini amat bermakna, pihak universiti juga mengadakan solat jenazah di Pusat Islam UiTM di sini sebelum kami bertolak ke Manjung,” katanya.

Media semalam melaporkan pelajar UiTM Kampus Rembau, Nur Ain dan Ismawanie Husna Ismail, 19, maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai terbabas sendiri di Kilometer 1 Jalan Chengkau-Panchang-Lubok China.

Ketua Polis Daerah Rembau Supt Hasani Hussain berkata dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan kepala. 

Dalam pada itu, Rusfalisa Alias, 47, ibu kepada Ismawanie Husna menyifatkan anaknya, yang merupakan pelajar Diploma Pengurusan Maklumat, sebagai seorang yang berdisiplin dan bercita-cita mahu melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah.

 Beliau berkata jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Menanti, Kuala Pilah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan