KOTA BHARU, 5 Jan (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Kelantan merampas 130 kilogram (kg) serbuk teh mengandungi pewarna tiruan dianggarkan bernilai RM3,963 dalam operasi di negeri ini sepanjang tahun lepas.
Pengarahnya Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata operasi khusus itu dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bagi membendung penjualan produk teh tiruan dan tidak mematuhi kehendak pelabelan makanan.
Beliau berkata pemeriksaan telah dilakukan di 20 premis jualan termasuk kedai runcit, kedai pemborong, kedai makan dan restoran di seluruh daerah.
"Sebanyak dua notis kesalahan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (pengkompaunan kesalahan) 2017 dengan nilai RM1,000.
“Tiga syarikat pembekal teh telah didakwa di mahkamah yang melibatkan pelanggaran pewarna tiruan di dalam serbuk teh, iaitu di bawah Peraturan 260(3) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 melibatkan satu kes di Kota Bharu dan dua kes di Machang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Mohd Azman memaklumkan hukuman denda telah dikenakan sebanyak RM5,000 bagi kes di Kota Bharu dan RM1,500 bagi setiap kes di Machang, sekali gus menjadikan keseluruhan denda melibatkan kes pewarna tiruan dalam teh sepanjang 2025 ialah RM8,000.
Beliau berkata di bawah Peraturan 260 (3), teh tidak boleh mengandungi apa-apa bahan pewarna, sama ada dibenarkan atau tidak.
Berikutan itu, pihaknya sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini.
"Kita juga sentiasa berusaha memastikan makanan yang dijual bersih, selamat dan berkualiti tinggi serta tiada penipuan di sepanjang rantaian," katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya melaporkan kepada jabatan kesihatan negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan pewarna teh tiruan atau pelabelan yang tidak betul.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial