AM > BERITA

MBOKU Mahu Perluas Pusat Sehenti OKU Ke Seluruh Negara

06/01/2026 10:02 PM

KOTA BHARU, 6 Jan (Bernama) -- Majlis Belia Orang Kurang Upaya Malaysia (MBOKU) berhasrat memperluas penubuhan pusat sehenti di seluruh negara sebagai pusat rujukan utama bagi membantu serta memberi pendedahan berkaitan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Presidennya Muhammad Ghazali Othman berkata setakat ini pusat sehenti khusus untuk golongan berkenaan hanya terdapat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, di sini.

Beliau berkata kewujudan pusat sehenti itu membolehkan orang awam, majikan sektor kerajaan dan swasta mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan, rawatan kesihatan serta bantuan berkaitan kes jenayah melibatkan golongan OKU.

“MBOKU akan bekerjasama dengan Majlis OKU negeri serta kementerian berkaitan bagi mewujudkan pusat sehenti di seluruh negara sebagai medium penyebaran maklumat kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas Program Bengkel Disability Training di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu di sini hari ini.

Muhammad Ghazali berkata inisiatif itu penting bagi memastikan golongan OKU dan orang awam mempunyai akses mudah kepada khidmat rujukan, nasihat serta maklumat berkaitan keperluan dan perkhidmatan sokongan berhampiran mereka.

Beliau berkata pusat sehenti berkenaan juga dapat dimanfaatkan oleh majikan, belia atau individu yang mengalami kemalangan dan disahkan sebagai OKU untuk mendapatkan rujukan doktor, maklumat rawatan serta peluang pekerjaan bersesuaian.

Dalam pada itu, Muhammad Ghazali berharap majikan di negara ini terus membuka peluang pekerjaan kepada graduan OKU selepas mereka menamatkan pengajian, selaras dengan kelayakan dan kemampuan masing-masing.

“Kita mengakui graduan OKU berdepan cabaran untuk mendapatkan pekerjaan, namun mereka mempunyai kemahiran dan potensi yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sekiranya diberi peluang dalam sektor awam dan swasta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan