BACHOK, 7 Jan (Bernama) -- Kerja-kerja penambahbaikan keselamatan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), termasuk pemasangan penghadang keselamatan dan lampu jalan di lokasi dikenal pasti dijangka siap dalam tempoh terdekat.
Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata kerja pemasangan penghadang keselamatan itu, melibatkan laluan utama yang telah dikenal pasti, khususnya di kawasan berbukit dalam kampus.
Beliau berkata kelulusan pemasangan berkenaan telah dibuat dan pelaksanaannya kini sedang dijalankan.
“Lampu-lampu jalan juga akan dipasang di kawasan yang telah dirancang, bagi memastikan persekitaran kampus lebih selamat, khususnya pada waktu malam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Arham berkata kerja naik taraf jalan di kawasan terlibat telah siap dan penyerahan projek dijadualkan pada pertengahan bulan ini, sebelum kerja-kerja keselamatan tambahan disiapkan sepenuhnya.
Beliau berkata langkah penambahbaikan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan universiti bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta warga kampus sentiasa terjamin.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) UMK maut manakala rakannya cedera, selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik di Kampus UMK Jeli kira-kira 6.20 petang.
Mangsa Muhammad Amidee Abdullah, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri.
Sementara itu, mengulas hala tuju universiti, beliau berkata UMK kini melaksanakan pelan strategik UMK 2025-2030 (UMK30) yang dirangka bagi tempoh lima tahun, dengan penekanan kepada elemen keselamatan dan kelestarian merentasi 10 fakulti di universiti berkenaan.
“UMK juga bakal menyambut ulang tahun penubuhan ke-20, tahun ini dan pelbagai program telah dirancang bagi mencapai objektif serta visi universiti,” katanya.
Mengenai kadar kebolehpasaran graduan, Arham berkata pada 2024 UMK mencatatkan 67.3 peratus graduan memperoleh pekerjaan atau melanjutkan pengajian, manakala data terkini dijangka diperoleh pada Mac ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial