AM > BERITA

MA63: Peta Hala Tuju Penjagaan Kesihatan Jelas Diperlukan Bagi Penyelarasan, Penyampaian Lebih Baik – Dr Sim

07/01/2026 01:48 PM

KUCHING, 7 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu merangka peta hala tuju penjagaan kesihatan yang jelas bagi memastikan penyelarasan lebih baik serta pemantauan kemajuan yang berkesan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata peta hala tuju itu penting bagi menangani isu berpanjangan seperti kekurangan tenaga kerja kesihatan, yang tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat dan memerlukan perancangan berstruktur antara lima hingga 10 tahun.

Beliau berkata bagi mencapai hasil serta penyelarasan yang lebih baik, semua pihak dan kementerian berkaitan perlu terlibat dalam merangka peta hala tuju berkenaan.

“Sarawak memerlukan tambahan 4,000 kakitangan untuk Hospital Umum Sarawak dan perkara itu mustahil dicapai dalam tempoh singkat. Mungkin kita boleh bermula dengan 100 orang pada tahun pertama, diikuti pemberian lebih banyak biasiswa serta peningkatan bilangan pelajar dalam bidang kejururawatan, fisioterapi dan perubatan. Menjelang tahun kelima, mungkin kita boleh menyelesaikan separuh daripada kekurangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Bekalan Perubatan Asas di Klinik Kesihatan Batu Kawa, di sini hari ini.

Dr Sim berkata dengan adanya peta hala tuju yang jelas, pemimpin pada masa hadapan boleh merujuk serta meneruskan usaha yang telah dirancang.

“Kita tidak boleh terus bermesyuarat, berbincang dan memindahkan tanggungjawab daripada satu kementerian ke kementerian lain. Sebab itu kami mahu MA63 berfungsi sebagai peta hala tuju yang jelas — pada tahun bila dan perkara apa yang boleh diserahkan kepada Sarawak.

“Penjagaan kesihatan adalah kompleks. Tiada penyelesaian mudah. Ia bukan sekadar soal kewangan, tetapi juga melibatkan sumber manusia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan