AM > BERITA

Lebih 10,000 Peniaga Kecil Berpeluang Sertai Skim SARA, Tingkat Hasil Jualan

07/01/2026 08:49 PM

IPOH, 7 Jan (Bernama) -- Lebih 10,000 peniaga kecil berpeluang mengambil bahagian dan berdaftar di bawah Skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekali gus memperluas jaringan kedai yang terlibat dalam penyediaan barangan keperluan harian kepada rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata langkah itu dilihat sebagai satu lagi ruang yang disediakan kerajaan, bagi melibatkan lebih ramai peniaga kecil khususnya mereka yang menjual barangan dan keperluan asas mengikut kategori yang dibenarkan di bawah skim berkenaan.

“Ini (10,000) tambahan kepada apa yang sedia…dengan kemudahan ini, masyarakat tak perlu pergi kedai yang jauh, mereka boleh pergi kedai-kedai kecil atau runcit yang ada dalam kawasan kampung mahu pun dalam kawasan sekitar itu dengan lebih cepat dan mudah.

“Ia juga dapat memberi kelegaan kepada pengguna, rakyat dan mereka yang menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di bawah Inisiatif Sejahtera MADANI anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), dengan kerjasama strategik Pasar Raya Borong Sakan Sdn Bhd.

Kementerian Kewangan pada 5 Jan, memaklumkan sasaran kedai kecil yang terlibat dalam program SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir 2026, berbanding lebih 3,000 pada akhir tahun 2025, melengkapi cawangan pasar raya sedia ada.

Dalam pada itu, seramai 250 keluarga daripada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih di seluruh Perak, menerima sumbangan tambahan Baucar Kelengkapan Persekolahan bernilai RM400 setiap satu menerusi Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di bawah Inisiatif Sejahtera MADANI.

Muhammad Kamil berkata program yang dilaksanakan menerusi Sejahtera MADANI itu merupakan antara usaha bagi memastikan golongan miskin dan miskin tegar terus diberi perhatian.

“Kita pastikan bahawa mereka yang berada dalam kategori miskin dan miskin tegar dalam senarai e-Kasih, di bawah seliaan Unit Penyelarasan dan Pembangunan Negeri Perak itu, diberi perhatian dan juga sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada keluarga untuk melakukan persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan yang baru.

“Kalau ada mana-mana pihak yang terlepas pandang, itu boleh terus rujuk kepada mana-mana pejabat ICU ataupun pejabat daerah untuk kita lihat dan teliti semula apakah mereka ini layak untuk menerima bantuan, dan itu akan diselaraskan pada peringkat ICU insya-Allah, dan juga pejabat daerah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Kamil berkata sebanyak RM5,362,800 diperuntukkan bagi manfaat 35,752 pelajar di kawasan Parlimen Tambun dan Padang Rengas, melalui Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 yang bakal disalurkan pada bulan ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM4,486,950 disalurkan kepada Parlimen Tambun melibatkan 29,913 pelajar, manakala RM875,850 untuk Parlimen Padang Rengas melibatkan 5,839 pelajar.

“Kita harapkan bantuan yang diberikan ini akan digunakan sebaiknya oleh para ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak yang akan memasuki sesi persekolahan pada bulan ini,” katanya ketika ditemui pada Program Kembali Ke Sekolah 2026 Polis Kontinjen Perak, di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Perak, di sini, hari ini.

Pada 5 Jan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM800 juta bagi menyediakan BAP, yang disalurkan secara sekali beri berjumlah RM150 kepada semua pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Enam pada tahun ini.

Pada majlis berkenaan, 400 pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Enam turut menerima bantuan persekolahan berjumlah RM73,200 daripada Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan