AM > BERITA

Malaysia Komited Keadilan, Keamanan Dan Maruah Di Pentas Global - PM Anwar

07/01/2026 08:56 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

ANKARA, 7 Jan (Bernama) -- Malaysia tetap komited mempromosikan keadilan, keamanan, dan maruah di arena antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan Malaysia bersedia menyokong usaha multilateral, termasuk inisiatif pengaman antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sambil menghormati peranan pihak berkepentingan serantau.

“Malaysia bersikap terbuka. Jadi, apa sahaja yang perlu atau untuk membantu, kita akan lakukannya. Namun, kami tidak akan melangkaui peranan negara jiran dan kuasa besar yang terbabit.

“Seperti yang saya nyatakan, isu ini bukan hanya berkaitan Gaza. Nasib etnik Rohingya, termasuk di Myanmar serta negara lain seperti Kemboja dan Thailand, turut menjadi perhatian. Dalam kapasiti yang ada, Malaysia bersedia memainkan peranan kerana kami berpegang kepada prinsip keadilan, keamanan, dan maruah,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika sesi soal jawab pada syarahan umum bertajuk Power Shifts: Strategic Choices for Malaysia and Turkiye di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan mengenai kemungkinan Malaysia dan Turkiye mengetuai kerjasama politik dan moral dalam dunia Islam.

Perdana Menteri menegaskan Malaysia kekal berpegang kepada dasar luar negeri yang berprinsip dan konsisten berpandukan undang-undang antarabangsa semasa lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye yang bermula semalam atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Beliau berkata Malaysia akan terus menjalin hubungan diplomatik dengan semua kuasa besar sambil menolak sebarang tindakan sehala oleh mana-mana negara kerana ia boleh menggugat kestabilan dunia.

“Malaysia mengambil kedudukan yang tegas termasuk berhubung isu Venezuela. Kami menekankan bahawa segala tindakan mesti selaras dengan peraturan dan undang-undang antarabangsa dan tiada tindakan sehala oleh mana-mana negara, besar atau kecil,” jelasnya.

Anwar turut menyatakan bahawa Malaysia menggesa Amerika Syarikat memberi ruang kepada rakyat Venezuela menentukan masa depan mereka sendiri tanpa campur tangan luar.

Beliau menambah, sebarang tindakan sehala bukan sahaja menimbulkan kebimbangan tetapi juga menjejaskan kestabilan global.

Turut mengulas tentang hubungan dengan Amerika Syarikat, Anwar berkata walaupun wujud ketidaksetujuan terhadap beberapa dasar yang sering dikaitkan dengan “Trumpisme”, Malaysia tetap menganggap penglibatan berterusan sebagai penting kerana negara ini adalah sebuah demokrasi dan amat menghargai hubungan dua hala.

“Malaysia akan terus menyatakan pendirian berdasarkan fakta, undang‑undang dan dasar yang konsisten demi kepentingan rakyat Malaysia. Pada masa sama, kita akan terus berhubung dan menghormati Amerika Syarikat serta memastikan suara kita didengar,” tegasnya.

Beliau juga menekankan bahawa penglibatan diplomatik adalah satu keperluan, termasuk menyokong inisiatif keamanan serantau dan rentas serantau seperti usaha yang dilakukan oleh Arab Saudi di Yemen dan peranan Turkiye dalam menangani konflik serantau.

Lawatan rasmi pertama Anwar ke Turkiye sejak memegang jawatan Perdana Menteri itu juga menyaksikan pembentukan Majlis Strategik Peringkat Tinggi (HLSC) Malaysia‑Turkiye yang dijangka memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan dan keselamatan.

Selain itu, Anwar dijangka menerima penganugerahan Order of the Republic daripada Presiden Erdogan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam mempererat hubungan antara kedua‑dua negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan