KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang mesti sentiasa dipelihara serta dipertahankan.
Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah kedua-dua aspek dalam Rukun Negara itu amat penting kerana memberi kesan secara langsung terhadap tahap kepercayaan rakyat kepada integriti institusi pemerintahan dan pentadbiran negara.
“Rakyat berhak untuk berasa kecewa apabila pihak berkuasa didapati menyalahgunakan kedudukan dan berasuah,” titah Sultan Ibrahim.
Titah berkenaan dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Sri Azalina Othman Said di ibu negara hari ini.
Pada pertemuan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai isu-isu semasa mengenai perundangan dalam negara selain usaha pengukuhan tatakelola serta pelaksanaan reformasi institusi ke arah memerangi rasuah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial