AM > BERITA

Festival Makanan IKONDESA@Putrajaya Ketengah Cita Rasa Warisan Malaysia

09/01/2026 07:04 PM

PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menganjurkan Festival Makanan IKONDESA@Putrajaya pada 10 dan 11 Jan ini sebagai usaha memperkukuh akses pasaran produk desa serta mengangkat cita rasa warisan Malaysia.

Festival akan berlangsung di Souq Putrajaya, Presint 1 bermula 10 pagi hingga 6 petang itu bakal menyediakan pelantar akses pasaran melalui penubuhan pusat jualan fizikal di bandar, sekali gus berperanan sebagai hab pemasaran dan jualan produk desa keluaran usahawan bimbingan KKDW.

Dalam kenyataan hari ini, KKDW memaklumkan festival berkenaan menggabungkan konsep jualan secara hibrid yang menampilkan produk artisan dan komersial desa berkualiti tinggi, merangkumi kraf tangan, tekstil tradisional, produk makanan dan minuman, serta elemen kafe mini.

Bertemakan “Citarasa Warisan Malaysia”, festival ini mengetengahkan pelbagai hidangan tradisional kegemaran rakyat seperti nasi lemak, soto, sate, mee kari Nyonya, aneka kuih tradisional dan cendol.

“Ia bukan sahaja membangkitkan nostalgia, malah mencerminkan identiti budaya serta kepelbagaian warisan makanan negara,” menurut kenyataan itu.

KKDW memaklumkan IKONDESA ialah satu daripada 42 inisiatif Game Changer KKDW Tahun 2025 yang memberikan fokus kepada pemerkasaan ekonomi desa secara mampan.

“Orang ramai dialu-alukan untuk hadir bagi menikmati hidangan tradisi tempatan serta menyokong produk makanan keluaran usahawan desa tempatan yang berdaya saing dan berkualiti tinggi,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan