SHAH ALAM, 10 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengingatkan umat Islam agar tidak menyertai, mempromosi, menyokong atau melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti yang boleh dikaitkan dengan menormalisasi gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Senator Datuk Salehuddin Saidin berkata perkara itu bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam malah bertentangan dengan undang-undang, nilai budaya timur dan norma masyarakat di Malaysia.
“MAIS memandang serius laporan media berkaitan penganjuran program yang melibatkan komuniti LGBT dan usaha mempromosikan gaya hidup yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
“Sebagai badan bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam di Selangor, MAIS menentang keras sebarang bentuk aktiviti mana-mana pihak yang bertujuan mempromosi, menyokong dan menormalisasikan gaya hidup songsang seperti LGBT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salehuddin turut menyeru masyarakat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda menormalisasi LGBT yang boleh meruntuhkan moral dan akhlak masyarakat Islam.
Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan mereka yang telah terjebak dengan gaya hidup songsang untuk kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan yang dijalankan oleh MAIS, pihak berkuasa agama lain atau pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan pemulihan berkaitan.
Salehuddin berkata MAIS turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan dalam memastikan aktiviti normalisasi dan penyebaran pengaruh hidup songsang serta LGBT yang merosakkan masyarakat, dapat disekat dan dicegah.
“MAIS akan bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi kerajaan lain memperkukuh pendidikan akhlak, penyebaran dakwah dan nilai Islam serta memperkemas program pemulihan kepada masyarakat Islam sebagai usaha untuk memastikan budaya songsang ini tidak lagi diamalkan di negeri ini,” katanya.
Semalam Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri Selangor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap penganjuran program Glamping With Pride di Hulu Langat, yang akan diadakan minggu depan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan menyebar dan mempromosikan budaya LGBT di negeri itu.
Sebelum ini media melaporkan tindakan kumpulan terbabit yang berhasrat meneruskan program Glamping With Pride pada hujung minggu depan meskipun mendapat bantahan pelbagai pihak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial