AM > BERITA

Lebih 40,000 Pelajar Manfaat MyRailLife, Bukti Kebergantungan Tinggi Tren KTMB

11/01/2026 02:42 PM

KUALA KRAI, 11 Jan (Bernama) -- Sebanyak 43,464 pendaftaran meliputi 41,641 pelajar dan 1,823 golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terhadap Program MyRailLife dilaksanakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) setakat tahun lepas.

Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan ETS dan Antarabandar Mohd Azhar Abu Bakar berkata jumlah itu menggambarkan kebergantungan tinggi komuniti pedalaman terhadap perkhidmatan tren, khususnya bagi kawasan yang tidak mempunyai akses rangkaian lebuh raya sepenuhnya.

“Sehubungan dengan itu, KTMB meneruskan inisiatif menyantuni pelajar melalui Program ‘KTMB Santuni Pelajar Wilayah Pantai Timur’ sempena hari pertama sesi persekolahan 2026, bermula di Stesen Kuala Gris dengan edaran cenderahati kepada pelajar yang menaiki Perkhidmatan Shuttle Timuran (SH) SH51 ke Dabong.

“Edaran turut dilakukan di dalam tren dari Bukit Abu, Ulu Temiang dan Manek Urai sehingga ke Stesen Dabong, melibatkan kira-kira 150 pelajar, sebagai galakan moral bagi memulakan sesi baharu persekolahan,” katanya.

Mohd Azhar berkata MyRailLife memainkan peranan penting dalam memastikan akses pendidikan tidak terjejas, terutama di kawasan pedalaman seperti Dabong, Kuala Gris, Bukit Abu, Ulu Temiang dan Manek Urai.

“Bagi penduduk di kawasan ini, tren bukan sekadar kemudahan pengangkutan, malah menjadi sebahagian daripada rentak kehidupan harian. Ada yang sanggup bangun seawal 4 pagi untuk memastikan mereka tidak terlepas jadual tren,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata inisiatif itu juga selari dengan pengumuman kerajaan menerusi Belanjawan 2026 berkaitan pelaksanaan tambang percuma untuk kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Dalam pada itu, dua perkhidmatan baharu SH bagi laluan Gemas-Kuala Lipis turut diperkenalkan mulai 1 Jan, menjadikan enam perkhidmatan sehari bagi laluan berkenaan, sekali gus meningkatkan pilihan perjalanan untuk penumpang di Pantai Timur.

Pada 2025, perkhidmatan SH merekodkan 395,163 penumpang manakala Ekspres Rakyat Timuran (ERT) mencatatkan 666,121 penumpang. Bagi 2026, KTMB menyasarkan peningkatan kepada 687,214 penumpang bagi SH dan 368,875 penumpang bagi ERT.

“KTMB komited untuk terus menjadi nadi pengangkutan rakyat, bukan sahaja menghubungkan destinasi tetapi menyokong pembangunan sosial serta kesejahteraan komuniti di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan