AM > BERITA

Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Tamil Nadu Teroka Perkukuh Kerjasama Budaya Dan Ekonomi

11/01/2026 07:09 PM

GEORGE TOWN, 11 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkukuh komitmen untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dan hubungan diaspora susulan pertemuan peringkat tertinggi dengan Timbalan Ketua Menteri Tamil Nadu Udhayanidhi Stalin.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo berkata pertemuan yang berlangsung di kediaman bekas pelakon berkenaan di India, menekankan tekad bersama kedua-dua kerajaan untuk memperkukuh kerjasama dua hala, terutama dalam bidang pertukaran budaya dan pembangunan sosioekonomi.

Beliau berkata kedua-dua pihak mengiktiraf hubungan sejarah dan budaya yang menghubungkan Pulau Pinang dan Tamil Nadu, terutamanya melalui diaspora Tamil dan meneroka peluang untuk menginstitusikan kerjasama bagi manfaat bersama dalam tempoh jangka panjang.

“Perbincangan kami meneroka potensi untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk pertukaran budaya, penglibatan komuniti, kerjasama ekonomi dan pembangunan mampan.

“Kami memperkukuh warisan dan nilai bersama yang terus mengeratkan Pulau Pinang dan Tamil Nadu, sambil mengiktiraf kepentingan memelihara hubungan ini dengan cara yang progresif, inklusif dan memberi manfaat bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini

Sundarajoo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang berkata pertemuan itu menekankan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memupuk hubungan baik di peringkat antarabangsa, mengukuhkan hubungan diaspora dan membina perkongsian strategik yang menyumbang secara positif kepada pembangunan sosial, budaya dan ekonomi.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang kekal komited menjalinkan kerjasama antarabangsa yang menggalakkan keterangkuman, pemeliharaan budaya dan pembangunan mampan, sambil terus memperkukuh hubungan dengan Tamil Nadu sebagai rakan yang dihargai dan dipercayai.

Dalam pertemuan itu, Sundarajoo diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam K. Kumaran serta ADUN Batu Uban A. Kumaresan dan hadir sama Ahli Parlimen Chennai Utara Dr Kalanidhi Veeraswamy.

Ikatan budaya antara India dan Malaysia, khususnya antara Tamil Nadu dan Pulau Pinang, berakar umbi daripada sejarah bersama yang telah wujud selama lebih 300 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan