AM > BERITA

Pengerusi Panel Penasihat NADI Perlu Main Peranan Bantu Kerajaan Sebar Maklumat

13/01/2026 02:08 PM

SHAH ALAM, 13 Jan (Bernama) -- Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) perlu memainkan peranan lebih aktif sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat bagi memastikan maklumat yang tepat, sahih serta terkini sampai ke peringkat akar umbi.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelantikan mereka membawa tanggungjawab besar dalam memperkukuh komunikasi kerajaan serta menangkis fitnah dan maklumat palsu dalam kalangan rakyat.

“Panel penasihat perlu menjadi antara individu terawal menerima maklumat yang tepat tentang sesuatu isu supaya boleh menjelaskan kepada komuniti apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Ad Banner

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI Selangor dan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah. 

Fahmi berkata penubuhan NADI di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hasil arahan Perdana Menteri pada Februari 2023, yang menetapkan setiap DUN di seluruh Malaysia perlu memiliki sekurang-kurangnya satu pusat sebaran maklumat bagi mendekatkan perkhidmatan dan informasi kerajaan dengan rakyat.

“Dahulu NADI dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital tetapi kita dapati fungsinya jauh lebih besar... ia bukan hanya tentang ekonomi tetapi juga sebagai pusat sebaran maklumat, pembangunan komuniti dan pembinaan keupayaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata perubahan teknologi yang pesat memerlukan usaha menyeluruh hingga ke peringkat kampung dan bukan hanya tertumpu di bandar atau ibu kota.

Sehubungan itu, Fahmi berharap panel penasihat dapat meluangkan masa sekurang-kurangnya dua minggu sekali untuk turun ke NADI, meninjau aktiviti, menyelaras program bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta mengenal pasti keperluan komuniti khususnya kawasan yang jauh dari pusat berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa sebahagian NADI kini dilengkapi capaian Internet berkelajuan tinggi, malah ada lebih pantas berbanding beberapa kawasan pentadbiran utama.

Fahmi berkata kemudahan itu membolehkan pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk pembelajaran berkaitan kecerdasan buatan, keusahawanan digital seperti TikTok Shop serta latihan kemahiran menjahit dan memasak.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara NADI, Jabatan Penerangan dan Komuniti MADANI bagi memastikan usaha komunikasi kerajaan digerakkan secara bersepadu.

“Komunikasi kerajaan bukan tanggungjawab satu kementerian atau seorang menteri... ia perlu digerakkan bersama untuk menyampaikan maklumat yang betul dan menyangkal dakyah serta berita palsu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan