AM > BERITA

ADTEC JTM Rekod 95.5 Peratus Kadar Kebolehpasaran Graduan Tahun Lepas - Ramanan

13/01/2026 11:08 PM

SHAH ALAM, 13 Jan (Bernama) -- Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) berjaya merekodkan 95.5 peratus tahap kebolehpasaran graduan tahun lepas, sekali gus membuktikan keberkesanan latihan ditawarkan bagi memenuhi keperluan industri dan pasaran buruh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.  

‎‎Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata daripada 33 kampus di seluruh negara termasuk dua kampus satelit di Senai, Johor dan Muadzam Shah, Pahang, empat kampus, iaitu Pasir Gudang, Johor; Bukit Katil, Melaka; Kota Kinabalu, Sabah dan Kepala Batas, Pulau Pinang berupaya merekodkan 100 peratus kadar kebolehpasaran graduan.

“Kami tidak mempunyai data sejak penubuhan pada 1969, namun bagi tempoh 2010 hingga 2026, lebih sejuta pelajar telah dilatih di institusi ini dengan pencapaian cemerlang ADTEC JTM ialah tahap kepuasan majikan, iaitu 97.2 peratus majikan menyatakan kepuasan terhadap pekerja yang diambil, hasil tenaga kerja berkualiti yang dilahirkan. 

Ad Banner

“Ini semua ialah kejayaan cemerlang kerana bukan semua institusi mampu memperoleh pencapaian sebegini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Rasmi ke ADTEC JTM Kampus Shah Alam, di sini hari ini. 

Ramanan berkata setakat ini, ADTEC JTM turut menjalinkan kerjasama dengan kira-kira 400 syarikat seperti Proton, Petronas dan Huawei dalam memastikan peluang pekerjaan terhadap graduannya, selain turut menyasarkan untuk jumlah berkenaan ditingkatkan kepada 600 menjelang 2030. 

Beliau berkata kementeriannya juga akan memperkasakan pembangunan institusi terbabit menerusi pemberian dana bergantung pada keperluan dan kehendak di setiap kampus dalam memastikan pengoperasian ADTEC JTM kekal optimum sekali gus meningkatkan lagi keberkesanannya dalam melahirkan graduan yang berkualiti. 

“Di Kampus Shah Alam ini ada satu tapak yang akan dibina satu lagi hangar pesawat dengan peruntukan sebanyak RM20 juta dan akan dimulakan tahun ini,” katanya. 

Dalam lawatannya hari ini, Ramanan turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ADTEC JTM dengan Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES).

MoU berkenaan antara lain bakal memberikan latihan kemahiran serta peluang untuk diserap sebagai pekerja kepada penuntut Program Penyelenggaraan Kapal Terbang yang terpilih untuk mengikuti program itu.  

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan