AM > BERITA

Lebih 900 Ribu Murid Di Selangor Layak Terima BAP

13/01/2026 07:08 PM

KLANG, 13 Jan (Bernama) -- Sebanyak 943,975 murid di 944 sekolah di seluruh Selangor akan menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 seorang, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM141,596,250.

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata bantuan itu akan disalurkan di semua sekolah di negeri itu dalam tempoh 30 hari, bermula hari ini sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu.

“Program BAP membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan setiap murid memulakan tahun persekolahan dengan lebih teratur dan lancar.

Ad Banner

“Semua Pejabat Pendidikan Daerah hendaklah mematuhi peraturan dan tatacara pengurusan kewangan selaras dengan Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 5 Tahun 2025 bagi memastikan pengoperasian BAP berjalan lancar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Kementerian Pendidikan 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru hari ini.

Cek Cura itu disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru Mariam Abdul Rashid  kepada 10 wakil PPD. 

Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya berkata pengukuhan sektor pendidikan mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara, justeru pelbagai program tambahan dilaksanakan kerajaan negeri, antaranya tuisyen rakyat dan pengenalan inisiatif baharu yang selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan pasaran pekerjaan kelak. 

Beliau berkata hasrat berkenaan dikuatkan lagi dengan pertambahan peruntukan sektor pendidikan berjumlah RM55 juta, sekali gus menjadi peruntukan tertinggi sektor itu dalam sejarah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

“Belanjawan Selangor 2026 mencatatkan peruntukan tertinggi kepada sektor pendidikan, menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam membina asas pendidikan yang kukuh untuk semua lapisan masyarakat.

“Kami mungkin tidak mempunyai sumber semula jadi seperti minyak, emas atau perak tetapi kekuatan sebenar negeri ini terletak pada sumber daya tenaga manusia atau modal insan yang berpotensi dan berkualiti tinggi,” katanya.

Pada majlis sama, Amirudin turut menyampaikan bantuan bencana berjumlah RM20,000 daripada Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) kepada SMK Meru selepas sekolah itu terjejas dalam kejadian ribut beberapa bulan lepas. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan