AM > BERITA

Dasar Baharu Penggajian Ekspatriat Bermula 1 Jun Ini - KDN

14/01/2026 04:45 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Dasar baharu penggajian ekspatriat akan dikuat kuasa pada 1 Jun ini untuk memberi ruang persediaan yang mencukupi kepada majikan dan industri, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini. 

Kenyataan KDN memaklumkan Jemaah Menteri pada 17 Okt 2025 telah bersetuju untuk melaksanakan dasar baharu penggajian ekspatriat yang melibatkan penstrukturan semula kadar gaji bagi Pas Penggajian Kategori I, II dan III, serta penetapan tempoh penggajian ekspatriat di Malaysia.

“Dasar penggajian ekspatriat semasa yang berpandukan keputusan Mesyuarat Majlis Ekonomi pada 20 Dis 2016 telah ditambah baik melalui siri sesi libat urus bersama pihak industri dan pemegang taruh sejak 2022.

Ad Banner

“Penetapan dasar baharu ini adalah selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing serta memberi keutamaan kepada bakat tempatan yang layak bagi mengisi kekosongan jawatan sebelum mempertimbangkan pengambilan ekspatriat,” menurut kenyataan itu. 

Selain penyelarasan gaji, KDN memaklumkan dasar baharu penggajian ekspatriat itu turut memperkenal tempoh penggajian ekspatriat yang sebelum ini tidak mempunyai had khusus.

“Penetapan tempoh ini bukan sahaja bertujuan untuk meraikan ekspatriat yang mempunyai kepakaran tinggi untuk terus menyumbang kepada negara malah berfungsi sebagai panduan kepada majikan dalam merancang pelan penggantian secara lebih tersusun dengan penglibatan tenaga kerja tempatan,” katanya. 

KDN memaklumkan akan menganjurkan sesi temu rapat dan libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk pihak industri, majikan dan agensi berkaitan bagi menjelaskan mekanisme pelaksanaan serta implikasi dasar.

“Ia termasuk memastikan transisi dasar ini berjalan secara teratur, telus dan tidak menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan.

“Seiring dengan prinsip Malaysia MADANI, kerajaan akan terus memastikan bahawa setiap pembaharuan dasar dilaksanakan secara berperingkat dan berteraskan kepentingan negara demi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan serta pembangunan modal insan tempatan dalam jangka panjang,” menurut KDN. 

Dasar baharu penggajian ekspatriat adalah seperti berikut:-

(i) gaji ekspatriat Pas Penggajian Kategori I dinaikkan daripada RM10,000 dan ke atas kepada RM20,000 dan ke atas

(ii) gaji ekspatriat Pas Penggajian Kategori II dinaikkan daripada RM5,000 hingga RM9,999 kepada RM10,000 hingga RM19,999

(iii) gaji ekspatriat Pas Penggajian Kategori III dinaikkan daripada RM3,000 hingga RM4,999 kepada RM5,000 hingga RM9,999 kecuali bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan (MRS) yang ditetapkan pada RM7,000 hingga RM9,999

(iv) tempoh penggajian Pas Penggajian Kategori I ditetapkan kepada 10 tahun

(v) tempoh penggajian Pas Penggajian Kategori II ditetapkan kepada 10 tahun dengan pelan penggantian

(vi) tempoh penggajian Pas Penggajian Kategori III ditetapkan kepada 5 tahun dengan pelan penggantian 

(vii) semua ekspatriat yang memegang Pas Penggajian Kategori I, II dan III dibenarkan membawa tanggungan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan