AM > BERITA

Perhilitan Pasang Dua Perangkap Harimau Di Sungai Siput

15/01/2026 05:25 PM

IPOH, 15 Jan (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak akan memasang dua buah perangkap susulan serangan harimau belang betina terhadap ternakan penduduk di Felda Perlop 1, Sungai Siput, semalam.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata bangkai ternakan serta kesan tapak kaki haiwan pemangsa itu telah ditemukan di beberapa lokasi dalam sebuah ladang kelapa sawit.

“Kita terima aduan penduduk kira-kira 11 pagi semalam yang memaklumkan seekor lembu miliknya telah diserang harimau dan langkah awal telah diambil dengan memasang dua kamera jejak.

Ad Banner

“Dua perangkap juga akan dipasang di kawasan sama kerana bukti daripada penduduk memaklumkan bahawa harimau belang itu membawa bersama anaknya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengakui kawasan serangan berkenaan merupakan antara lokasi laluan hidupan liar termasuk harimau belang berdasarkan aduan yang dibuat pada tahun lepas.

“Berbelas aduan diterima tahun lepas dan untuk tahun ini, ia merupakan kejadian pertama. Ini bukan sesuatu yang asing, cuma kita perlu mengambil langkah keselamatan sebelum berlaku perkara di luar jangkaan,” katanya.

Yusoff berkata penduduk sekitar diminta supaya mengurangkan aktiviti di waktu malam dan tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran.

“Perkara ini telah diulang banyak kali dan kita harap semua penduduk di kawasan sekitar berhati-hati, jangan melakukan provokasi sekiranya terserempak dan paling penting tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran yang mengundang kepada kedatangan harimau,” katanya.

Pada 11 Jan lepas, seekor harimau belang jantan berusia dua tahun yang digelar “Yob Kinding” berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap di sebuah kebun durian berhampiran Bukit Kinding, Chemor.

Sehari sebelum itu, seekor harimau kumbang jantan turut ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang di Bukit Bangkong, Chemor.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan