AM > BERITA

MAHA Kekal Platform Utama Perkukuh Ekosistem Agromakanan Negara - Mohamad

16/01/2026 03:36 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) kekal sebagai platform utama dalam memperkukuh ekosistem agromakanan negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata MAHA menonjolkan sektor pertanian sebagai pemacu kedaulatan makanan dan pertumbuhan ekonomi, selain memperlihatkan inovasi, rantaian nilai serta peluang pelaburan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kita mahu MAHA ke peringkat antarabangsa tahun ini, dengan penglibatan lebih hebat. Persediaan penganjuran telah dimulakan melalui majlis pelancaran awal pada 3 Dis 2025, bertemakan ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

MAHA 2026 dijadualkan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 Sept di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), dengan sasaran empat juta pengunjung, 2,000 peserta pameran dan transaksi jualan RM58 juta.

Untuk rekod, MAHA 2024 pula berjaya menarik 5.5 juta pengunjung dan mencatat nilai jualan langsung RM4.85 juta, melebihi sasaran awal tiga juta pengunjung.

Selain MAHA, penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 juga mencatat kejayaan dengan 504,491 pengunjung dan nilai jualan RM15.59 juta, yang berlangsung dari 1 hingga 3 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Mohamad berkata KPKM juga menyasarkan 5,000 program Jualan AgroMADANI sepanjang 2026 untuk memastikan rakyat mendapat barangan asas pada harga lebih berpatutan, dengan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus.

Tahun lalu, program ini mencecah 3,738 program di 126 kompleks kerajaan, 450 kawasan perumahan B40, dan 3,162 outlet FAMA.

“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan kos sara hidup rakyat, malah memastikan bekalan makanan berkualiti, memperkukuh ekonomi petani, penternak dan nelayan, serta memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan