AM > BERITA

Cuaca Panas, Kurang Hujan Di Kebanyakan Tempat Hingga 25 Jan - MetMalaysia

18/01/2026 02:34 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan  cuaca panas dan kurang hujan berlaku di kebanyakan kawasan seluruh negara, terutama di utara Semenanjung sehingga 25 Jan ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata berdasarkan analisis model-model ramalan cuaca, suhu maksimum di sesetengah kawasan dijangka boleh mencecah 34 darjah Celcius dalam tempoh berkenaan.

“Bagaimanapun, ribut petir berserta angin kencang untuk tempoh yang singkat masih berpotensi berlaku, terutama di barat Semenanjung pada lewat petang dan awal malam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman web dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di sekitar perairan negara bermula 21 hingga 25 Jan.

Jabatan itu memaklumkan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak setinggi sehingga 3.5 meter dijangka melanda kawasan perairan Condore, utara Bunguran, Reef North, utara Reef South dan Layang-Layang.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, amaran kategori kedua pula dikeluarkan bagi kawasan perairan timur laut Condore dan barat laut Reef North dengan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak lebih 4.5 meter.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” menurut MetMalaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan