AM > BERITA

KVDT2 Libat Jajaran Subang-Klang Dijangka Siap Menjelang Akhir Mac - Loke

20/01/2026 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kerja-kerja pemulihan bagi projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa II (KVDT2) melibatkan jajaran Subang Jaya-Klang dijangka siap menjelang akhir Mac, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata jajaran berkenaan kini dalam pembinaan dan dijangka siap dalam suku pertama tahun ini, namun keseluruhan fasa dua landasan rel meliputi hingga Seremban akan mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan. 

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan telah dipercepat menerusi langkah drastik dengan penutupan keseluruhan laluan KTM Komuter sejak tahun lepas, berdasarkan analisis data yang menyeluruh.

Ad Banner
Ad Banner

“Ketika ini, pada waktu pagi, perkhidmatan tren hanya beroperasi sehala dari Klang ke KL Sentral kerana kami tahu bagi jajaran ini, pada waktu puncak, 90 peratus penumpang dari Klang ke Kuala Lumpur adalah untuk bekerja, dan bukan ke arah bertentangan.

“Sebelum ini, kekerapan tren melebihi satu jam kerana perkhidmatan perlu beroperasi di kedua-dua arah. Berdasarkan data dikumpul, kami dapati jumlah penumpang ke arah bertentangan adalah sangat rendah, sehubungan itu operasi sehala dijalankan pada waktu puncak,” katanya pada sidang media berkaitan perkhidmatan KTM Komuter sempena perayaan Thaipusam di KL Sentral di sini hari ini.

Loke berkata mengikut pengaturan semasa, perkhidmatan KTM Komuter dari Klang ke KL Sentral beroperasi pada selang 30 minit semasa waktu puncak pagi, dengan enam perjalanan hingga kira-kira 9 pagi, selepas itu perkhidmatan ditangguh hingga 4 petang bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan.

Bagi waktu puncak petang, beliau berkata perkhidmatan beroperasi ke arah bertentangan, dari KL Sentral ke Port Klang, memandangkan kebanyakan pergerakan penumpang tertumpu ke arah itu selepas waktu bekerja.

“Tujuan utama adalah untuk mempercepat kerja pembinaan supaya projek ini dapat disiapkan dengan lebih awal,” katanya.

Mengenai peningkatan kes kecurian kabel yang menjejaskan perkhidmatan perkhidmatan rel seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), Loke berkata Kementerian Pengangkutan telah mengadakan perbincangan peringkat tinggi dengan Kementerian Dalam Negeri serta Polis Diraja Malaysia untuk menangani isu terbabit.

Beliau berkata penguatkuasaan oleh polis kekal penting, manakala pengendali rel juga akan melaksanakan langkah-langkah tambahan bagi membendung kecurian kabel dan mengurangkan gangguan perkhidmatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan