AM > BERITA

STR Ringankan Beban Rakyat, Bantu Tangani Kos Sara Hidup

20/01/2026 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 bermula hari ini memberi kelegaan kepada penerima, khususnya golongan berpendapatan rendah yang berhadapan tekanan kos sara hidup.

Bagi kebanyakan penerima, STR bukan sekadar bantuan kewangan sebaliknya menjadi sokongan penting untuk menampung keperluan asas pada saat kritikal termasuk membuat persiapan awal menjelang Ramadan bulan depan.

Suri rumah Wan Anisyariah Abd Talib, 42, berkata bantuan itu amat bermakna bagi keluarganya sementara menunggu gaji suami, selain membantu menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

Ad Banner
Ad Banner

“Apabila bantuan ini masuk, saya lega dan syukur sebab sedikit sebanyak meringankan beban keluarga, terutama dalam membeli barangan dapur. Anak-anak sudah mula bersekolah, jadi perbelanjaan memang sangat ketat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Di SELANGOR, pekerja swasta Siti Aishah Abu Bakar, 30, berkata peningkatan kos sara hidup di kawasan bandar menyebabkan golongan bujang turut terkesan, justeru STR memberi ruang kepadanya mengurus aliran tunai dengan lebih teratur.

“Usaha kerajaan menyediakan bantuan bersasar seperti ini membantu meringankan beban kami, terutamanya yang tinggal di bandar kerana semua tahu kos sara hidup sangat tinggi,” katanya.

Di JOHOR, pekerja swasta Mohamad Zariq Abdullah, 35, berkata STR membolehkannya membuat persediaan awal menjelang Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Sekurang-kurangnya saya boleh membeli pakaian baharu untuk anak dan barangan lain secara berperingkat, jadi tidaklah semua perbelanjaan tertumpu dalam satu masa.

“Meskipun jumlahnya sederhana, ia tetap membantu meringankan beban kami sekeluarga,” kata bapa kepada dua anak itu.

Di PERAK, pesara Tajuddin Shariff, 72, berkata bantuan itu memberi kelegaan buat dirinya dan isteri, Hasnah Muhammad Rasad, 66, untuk menampung perbelanjaan keperluan asas.

“Bantuan kerajaan ini amat membantu golongan pesara seperti kami yang mengharapkan wang pencen sebagai sumber tetap meneruskan kehidupan,” katanya yang memperoleh RM2,400 melalui STR dan SARA.

Dalam pada itu, di KELANTAN, Mohd Raffie Yaacob, 68, berkata menggunakan STR untuk membeli keperluan asas seperti beras, gula, tepung gandum dan barangan keperluan kebersihan diri.

“Seperti diketahui umum, kos sara hidup ketika ini agak tinggi. Bagi saya, STR ini betul-betul memberi manfaat kepada rakyat, terutama menjelang Ramadan,” katanya.

Sementara itu, di KEDAH Azizah Zakaria, 67, dari Kota Sarang Semut, Alor Setar, juga bersyukur dengan bantuan tersebut.

“Saya hanya berniaga kuih manakala anak perempuan bekerja di kedai makan. Jadi sumber pendapatan tidak seberapa. Duit yang ada hampir habis digunakan untuk beli pakaian dan peralatan sekolah dua cucu.

“Dengan STR ini, bolehlah saya membeli barangan dapur dan menyimpan sedikit stok makanan untuk Ramadan nanti,” katanya yang kematian suami kira-kira enam tahun lepas.

Penyaluran STR Fasa 1 2026 yang bermula hari ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion dan memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 dan RM500, bergantung kepada kelayakan masing-masing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan